LUNDU: Sebuah hotel penginapan dengan rekabentuk hotel di Dubai akan dibina di Sematan tidak lama lagi.
Ketika mengumumkan berita baik itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, terdapat syarikat swasta yang telah bersetuju untuk membina hotel itu nanti.
“Pihak swasta akan membangunkan penginapan di kawasan Lundu dan Sematan khasnya Sematan yang mana jumlah pelaburannya adalah bernilai RM120 juta.
“Saya ada melihat reka bentuk hotel ini iaitu sama seperti yang ada di Dubai,” katanya dalam majlis perasmian pontoon dan landskap tebingan sungai Sematan pada Sabtu.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, dengan adanya hotel penginapan itu, ia akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan sekaligus menjadi tarikan kepada para pelancong yang datang.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak akan terus mempergiatkan usaha untuk membangunkan infrastruktur pelancongan di kawasan Sematan.
Jelasnya, Sematan merupakan kawasan yang mempunyai potensi besar untuk berkembang dengan sektor pelancongan. –SN