Nasional

Hukuman mati masih ada tapi hakim diberi pilihan guna budi bicara: PM

BERA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata hukuman mati tidak dimansuhkan dan masih kekal namun perubahan yang dilakukan ialah memberi pilihan kepada hakim untuk menggunakan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.

Beliau berkata langkah itu membolehkan hakim tidak lagi terikat dengan perkataan ‘mandatori’ bagi hukuman mati yang menyebabkan mahkamah tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati seperti diperuntuk undang-undang contohnya dalam kesalahan mengedar dadah.

“Kita berpandangan setiap manusia perlu diberikan peluang kedua. Jika ada dua pilihan (hukuman) dan jika dirasakan orang itu memang penjenayah tegar mengedar dadah sehingga menyebabkan ratusan ribu orang mati, boleh dihukum mati dan dibenarkan untuk jatuhkan hukuman mati.

“Tetapi jika dirasakan daripada budi bicara patut diberikan peluang kedua untuk berubah menjadi lebih baik dan hendak diberikan hukuman penjara seumur hidup dengan sebat maka hakim boleh meminda hukuman mati mandatori kepada hukuman tersebut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) di Dewan Majlis Daerah Bera, Padang Luas di sini pada Jumaat.

Beliau berkata sebagai contoh, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntuk hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan dan ini menyebabkan hakim tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman tersebut.

“Kadang-Kadang kes itu melibatkan anak muda berusia 18 tahun. Hakim selepas mendengar perbicaraan mungkin beranggapan dia ini ‘terkena’ kerana dadah berada dalam beg miliknya tetapi dia tidak boleh membuktikan orang yang memberi (dadah) kepadanya.

“Walaupun ada orang yang beri tetapi tidak boleh dibuktikan, akhirnya mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati walaupun hakim beranggapan budak ini muda dan patut diberi peluang kedua untuk berubah.

“Kena faham bahawa hukuman mati tidak dimansuhkan dan masih ada tetapi tidak lagi menjadi mandatori,” katanya.

Ismail Sabri juga berkata walaupun secara dasarnya kerajaan bersetuju memansuhkan pelaksanaan hukuman mati mandatori namun perkara itu masih perlu diperhalusi dan memerlukan pandangan pihak berkaitan untuk diperkemas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerusi kenyataan hari ini memaklumkan kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Katanya keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh beliau semasa mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lepas. – BERNAMA

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *