KUCHING: Ijtimak Ilmuan Islam Antarabangsa akan diadakan dua tahun sekali di negeri ini bagi menghimpunkan cendekiawan Islam untuk berbincang tentang isu-isu semasa dan kontemporari di Malaysia dan seluruh dunia.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr.Abdul Rahman Junaidi berkata, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah bersetuju mengenai penganjuran berkenaan.
“Semalam saya berkesempatan berbicara dengan Premier Sarawak semasa majlis perasmian ijtimak kita di mana beliau menyatakan bahwa perlunya kita mengadakan program sebegini. Alhamdulillah, Premier Sarawak menyokong penuh program perhimpunan ilmuan yang kita adakan pada kali ini.
“Beliau juga bersetuju jika dapat diadakan dua tahun sekali untuk kita menghimpunkan cendekiawan dan bijaksana di peringkat antarabangsa ke Sarawak pada tahun yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penangguhan Ijtimak Ilmuan Islam Antarabangsa 1445H/2023M di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini pada Rabu.
Abdul Rahman percaya persidangan tersebut memainkan peranan penting kepada ummah dan berfungsi sebagai platform untuk ulama bersama-sama bertukar idea dan membangunkan strategi untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Islam di seluruh dunia.
“Dengan memfokuskan kepada amalan kepimpinan dan pengurusan yang berkesan, persidangan ini bertujuan untuk memperkasakan pemimpin Islam dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk memartabatkan taraf sosial, ekonomi dan kerohanian ummah.
“Oleh itu, adalah menjadi harapan besar saya bahawa masyarakat akan menerima peluang untuk mendapatkan lebih banyak ilmu yang akan memacu pembangunan dan kemungkinan negara kita dan Sarawak nanti,” ujarnya lagi.
Program ilmu berkenaan merupakan anjuran Majlis Islam Sarawak (MIS) dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang diadakan selama dua hari iaitu pada 25 hingga 26 Julai 2023.
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news
Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/