KUCHING: Sempena dengan Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka, Majlis Islam Sarawak (MIS) dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan menganjurkan satu program keilmuan iaitu Ijtimak Ilmuan Islam Antarabangsa 1445H/2023M di Dewan Kompleks Islam pada 25 hingga 26 Julai ini.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, dengan tema Keharmonian Kepimpinan dan Pengurusan Mengangkat Martabat Ummah, ilmuwan Islam dari Malaysia serta luar negara akan terlibat dalam program berkenaan kelak.
“Acara kemuncak ialah majlis perasmian acara berkenaan yang akan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Selasa depan, 25 Julai 2023 jam 2:00 petang.
“Selain ucaptama yang akan disampaikan oleh Premier Sarawak, antara pengisian utama acara ini ialah pembentangan kertas kerja oleh tujuh pembentang dari Malaysia dan enam pembentang dari luar negara seperti Turkiye, United Kingdom, Australia, dan Indonesia.
“Ia juga akan diikuti dengan diskusi tiga ahli panel,” katanya dalam satu sidang media di sini pada Khamis.
Abdul Rahman menambah, di samping itu, tiga acara iringan juga akan diadakan iaitu kuliah umum yang akan diadakan di Dewan Kompleks Islam pada 24 Julai jam 9 pagi, Forum Bicara Ad-Din diadakan pada 25 Julai (Selasa) di Masjid Al-Abyad Matang Jaya jam 6:00 petang dan pameran.
Menurut beliau lagi, pelancaran dua bauh buku turut diadakan kelak iaitu buku bertajuk Kitab Pedoman Ibadat karangan Daud Abdul Ghani dan buku Salah faham Sains dan Agama karangan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman.
Ujar Abdul Rahman lagi, program ilmu ini mensasarkan kehadiran seramai kira-kira lebih 1,000 peserta iaitu melibatkan pemimpin-pemimpin kerajaan, wakil jabatan negeri dan persekutuan, agensi-agensi dibawah Majlis Islam Sarawak (MIS) dan ramai lagi.
Beliau memberitahu, antara objektif Ijtimak Ilmuan Islam Antarabangsa 1445H/2023M ini ialah sebagai satu wadah bagi ilmuwan Islam untuk berbincang tentang isu-isu semasa dan kontemporari bukan sahaja di malaysia malahan seluruh dunia.
Selain itu, katanya program berkenaan juga diadakan bagi membincangkan peranan dan cabaran dalam menangani permasalahan masyarakat kontemporari serta mengukuhkan jati diri masyarakat dalam mendepani cabaran digitalisasi.
MIS sentiasa berusaha mengangkat martabat ilmu dan kepentingan peranan ilmuwan Islam dalam pembentukan dan kemajuan negara serta pengaruhnya yang mencorakkan pemikiran dan budaya masyarakat.
Lantaran itu, penerapan nilai dan ketinggian ilmu pada Ummah adalah sejajar bagi menyokong hasrat kerajaan bagi mencapai matlamat Malaysia Madani serta secara khususnya matlamat Sarawak Maju Makmur yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Sarawak.
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news
Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/