KUCHING: Langkah progresif Sarawak dalam industri tenaga hijau yang mendapat pujian Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim membuktikan usaha kerajaan Sarawak itu adalah tepat dan dilaksanakan dengan betul.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sememangnya memberi fokus kepada kelestarian ekonomi iaitu antara teras utama dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Salah satu fokus kita dalam PCDS 2030 ini ialah kelestarian ekonomi iaitu fokus untuk ekonomi yang berteraskan ekonomi baru yang mengutamakan alam sekitar seperti teknologi hijau, teknologi baru termasuk Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).
“CCUS ini merupakan satu tindakan dan inisiatif pertama di dalam Malaysia yang dilaksanakan oleh Premier Sarawak yang mana ia menjurus ke arah untuk kita mengalihkan ekonomi kita ke tahap ekonomi baru.
“Saya yakin Perdana Menteri kita menyokong perkara baru ini dan menyatakan bahawa kita Sarawaklah yang memulakan inisiatif ini. Kita (Sarawak) membuat inisiatif ini bukan hanya mengumumkannya sahaja tapi kita membuat undang-undang dan kita pastikan infrastruktur untuk perdagangan karbon CCUS ini dapat kita laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ucapan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat pada Khamis yang memuji usaha Sarawak memperintis kenderaan menggunakan tenaga hidrogen serta CCUS.
Terdahulu beliau telah menghadiri program Penghayatan Nilai-Nilai Murni bersama warga Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kuching bersempena Maal Hijrah pada Jumaat.
Hasidah juga menjelaskan lagi, beliau yakin Perdana Menteri selama ini sentiasa berjumpa dengan Premier Sarawak mungkin untuk membincangkan mengenai industri tenaga hijau ini.
“Mungkin mereka mengatakan inilah perkara baru yang harus kita sama-sama usahakan demi untuk Malaysia. Ini adalah cara baharu ke hadapan untuk seluruh negara,” ujarnya lagi.
Sementara tu, pada Khamis, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji usaha Sarawak dan mahu Malaysia mencontohi usaha Sarawak dalam memperintiskan kenderaan menggunakan tenaga hidrogen serta CCUS.
“Kita wajar mencontohi usaha Sarawak memperintiskan kenderaan menggunakan tenaga hidrogen serta CCUS.
“Kerajaan bercadang menyediakan insentif khusus bagi menggalak aktiviti pertumbuhan hijau baharu sebegini,” katanya.
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news
Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/