Tempatan

Isu 200 Guru ‘One-Off’ tolak tawaran penempatan di Sarawak, bakal pendidik perlu bersifat terbuka

KUCHING: Isu mengenai lebih 200 guru “one-off” menolak tawaran penempatan di Sarawak telah tular baru-baru ini dan hangat sehingga menjadi bualan masyarakat.

Laman media sosial kecoh dan telah dipenuhi dengan pandangan peribadi serta rasa tidak puas hari rakyat dengan tindakan lebih 200 guru berkenaan.

Ekoran daripada itu, wartawan Sarawak News telah mendapatkan beberapa pandangan orang awam di sekitar Kuching mengenai perkara berkenaan.

Bagi Fatin Syahirah, keputusan guru-guru tersebut menolak tawaran ditempatkan ke Sarawak berkemungkinan disebabkan tanggapan mereka terhadap cabaran kehidupan di kawasan itu.

“Kebanyakannya guru yang menolak untuk ditempatkan ke Sarawak mungkin atas sebab mereka ditempatkan di pedalaman dan mungkin juga mereka fikir kebanyakan sekolah di Sarawak ini adalah di pedalaman.

“Penolakan tawaran mereka ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada pendidikan di Sarawak ini kerana semestinya akan kekurangan guru dan pembelajaran para pelajar di Sarawak akan terganggu,”katanya.

Manakala bagi Nor Aini pula, beliau juga mengakui bahawa persepsi seperti itu boleh mempengaruhi keputusan bakal guru.

Tambahnya lagi, bagi mengatasi perkara ini daripada berulang, pengambilan guru kelahiran Sarawak sendiri yang berkelayakan dan berminat untuk mengisi kekosongan tersebut perlu diutamakan.

“Mungkin penolakan tersebut disebabkan tanggapan mereka dengan kekurangan prasarana serta keadaan sekolah di Sarawak terutama kalau sekolah yang jauh daripada kawasan bandar.

“Kita masih lagi mempunyai sekolah daif, masih kekurangan dari segi bekalan air, elektrik, dan jalan raya. Kekurangan guru ini akan memberi kesan kepada pendidikan anak Sarawak.

“Oleh itu, kerajaan perlu mengambil tindakan sepatutnya dengan guru yg menolak penempatan ke Sarawak. Masalah ini berkemungkinan akan dapat diatasi dengan segera sekiranya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengutamakan anak kelahiran Sarawak yang berkelayakan dan berminat untuk mengisi kekosongan tersebut,” ujarnya lagi.

Manakala, menurut Noor Ikmal, isu tersebut mungkin berlaku atas alasan tertentu bakal-bakal pendidik itu yang mempengaruhi keputusan mereka.

“Saya rasa mereka ada alasan tertentu kenapa mereka tidak mahu ditempatkan untuk mengajar di Sarawak. Mungkin ada aspek-aspek tertentu daripada mereka seperti mereka tidak mahu ditempatkan ke Sarawak atas alasan tidak mahu berjauhan daripada keluarga ataupun disebabkan faktor kesihatan ahli keluarga yang perlu dijaga.

“Jadi bagi saya, ia terpulang kepada tenaga pengajar atau pendidik itu sama ada untuk memilih untuk mengajar di Semenanjung atau blok Borneo kerana kita faham mereka mempunyai komitmen sendiri. Hak memilih adalah hak mereka sendiri,” jelasnya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Malaysia Fadhlina Sidek dalam Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada 6 Mac lepas, telah berkongsi data bahawa seramai 222 daripada 3,227 guru “one-off” yang diberi penempatan ke Sarawak tidak melaporkan diri atau menolak tawaran itu sehingga 30 September tahun lalu.

Katanya, 3,227 guru “one-off” itu merangkumi 2,621 guru lantikan tetap dan 606 guru lantikan secara “Contract of Services (CoS)” yang ditempatkan di Sarawak.

“Urusan pengambilan guru akan dilaksanakan berterusan dari semasa ke semasa tertakluk kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran,” menurutnya bagi menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mengenai bilangan guru pengambilan “one-off” dan CoS yang tidak melapor diri atau menolak tawaran ke Sarawak serta tindakan diambil KPM untuk mengisi kekosongan itu.-SN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *