Tempatan

Jabatan Hutan Sarawak nafi kenyataan Rimbawatch

KUCHING: Jabatan Perhutanan Sarawak (JPS) menafikan unjuran yang dibuat Rimbawatch bahawa Sarawak akan kehilangan lebih banyak kawasan hutan berdasarkan kajian yang dibuat oleh Global Forest Watch.

Pengarahnya, Datu Hamden Mohammad menerusi kenyataan medianya berkata unjuran yang dibuat Rimbawatch itu adalah berdasarkan persepsi trend pembukaan tanah untuk pembangunan.

Begitupun, tidak dinafikan Sarawak sedang pesat membangun ke arah negeri maju menjelang 2030.

“Memang ada kawasan tanah yang dibuka untuk tujuan memajukan pelbagai sektor seperti pertanian, pembangunan bandar dan perumahan, perindustrian dan lain-lain.

“Bagaimanapun, Sarawak berusaha mengimbangi pembinaan ini dengan kelestarian alam sekitar khususnya dalam mengekalkan kawasan hutan di Sarawak.

“Berdasarkan Dasar Guna Tanah Sarawak 2012, telah menetapkan tujuh juta hektar (ha) bagi tujuan guna tanah hutan iaitu hutan simpan kekal (enam juta hektar) dan bagi Kawasan Terlindung Sepenuhnya (satu juta hektar),” katanya yang menyangkal unjuran yang dibuat Rimbawatch dan diterbitkan dalam akhbar tempatan pada 21 Mac bertajuk ‘Kehilangan Tutupan Hutan yang Membimbangkan’.

Jelas Hamden lagi, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 mengenai audit khas pengurusan hutan, Impak Terhadap Alam Sekitar, Aktiviti Kementerian/Agensi dan Audit Pematuhan Kementerian/Agensi Negeri yang dikeluarkan pada 6 Januari tahun ini telah membuat kesimpulan bahawa hutan di negeri ini diurus dengan cara yang mampan untuk memberi faedah sosio-ekonomi dan mengekalkan kelestarian alam sekitar.

“Laporan ini mengesahkan bahawa kawasan hutan adalah seluas 7.65 juta ha iaitu 61.40 juta ha daripada keseluruhan negeri Sarawak.

“Kelestarian alam sekitar adalah agenda utama dalam Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 ke arah Sarawak yang semakin maju. Antara langkah lain yang telah ditetapkan ialah memulihara dan memulihkan kawasan hutan yang telah rosak,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, ujar Hamden lagi, Jabatan Hutan Sarawak telah mengadakan pelbagai program pemuliharaan dan pemulihan hutan di negeri ini termasuk program penanaman pokok secara besar-besaran di seluruh negeri, menerusi kempen Penghijauan Sarawak dan kempen Penghijauan Malaysia (MGC).

“Di bawah MGC, Sarawak komited untuk menanam 35 juta pokok sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025). Dari tahun 2021 hingga kini, Sarawak telah berjaya menanam sekitar 21,091,995 pokok hutan, dan pelbagai kempen serta program penanaman telah dijalankan secara bersungguh-sungguh dengan kerjasama semua pihak.

“Selain itu, untuk mengurangkan kadar penebangan hutan dengan menggunakan kaedah pembalakan berimpak rendah (RIL – Reduce Impact Logging). Atas sebab ini, Pensijilan Pengurusan Hutan (FMC) adalah wajib untuk semua kawasan berlesen jangka panjang (Lesen Kayu Hutan Jangka Panjang).

“Setakat ini, sebanyak 18 Unit Pengurusan Hutan (FMU) dengan keluasan 1,476,244 ha telah berjaya memperoleh FMC, manakala sebanyak enam Unit Pengurusan Ladang Hutan (FPMU) seluas 94,966 ha kawasan FPMU telah memperoleh FMC oleh Malaysia Majlis Persijilan Fimco (MrcC) yang diiktiraf oleh Program Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC) berasaskan Geneva,” katanya.

Di samping itu, pemegang lesen pembalakan juga diwajibkan menjalankan penanaman pengayaan dengan menanam pokok di kawasan konsesi masing-masing pada kadar yang sesuai bagi menggantikan pokok yang telah ditebang.

Turut disentuh, teknologi canggih seperti penggunaan teknologi hutan dan geospatial, akan digunakan dalam pengurusan dan pemuliharaan hutan.

Katanya, teknologi termaju telah digunakan secara meluas bagi memastikan kawasan hutan di Sarawak dipantau dengan teliti dan sistematik. Ia telah membantu penguatkuasaan hutan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan cekap.

“Selain itu, kaedah Pemantauan dan Pengawasan Berterusan (Comos) telah digunakan di Sarawak untuk membanteras pembalakan haram dan mengesan kerosakan hutan dengan bantuan teknologi pesawat DA42-MPP yang canggih.

“Selain itu, teknologi canggih ini juga digunakan untuk program pemulihan hutan terutama di kawasan terpencil dan sukar untuk dicapai, contohnya kaedah taburan benih pokok menggunakan bebola benih dan dron (projek Sarabom),” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *