Nasional

Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak berfungsi berkuatkuasa 1 September 2023

PUTRAJAYA: Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak telah ditubuhkan dan berfungsi berkuatkuasa pada 1 September 2023 bagi menggantikan Bahagian Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, jabatan tersebut diyakini berupaya memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat khususnya kanak-kanak berlandaskan kepada lima teras utama iaitu pencegahan, pembangunan, perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian ke dalam masyarakat.

“Kementerian melihat penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak sebagaimana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan Bajet 2023 yang bertemakan “Membangun Malaysia MADANI” pada 24 Februari 2023 lalu, merupakan solusi terbaik dalam menangani segera isu pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang semakin meruncing,” katanya daam satu kenyataan pada Isnin.

Menjelas lanjut, Nancy berkata, dengan tertubuhnya Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak, usaha menggerakkan komuniti yang telah ditubuhkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak serta pembantu pelindung akan ditingkatkan di semua 105 daerah.

“Ini selaras dengan tonggak Malaysia MADANI yang menyasarkan kesejahteraan masyarakat termasuk menjaga keselamatan dan memberi perlindungan kepada kanak-kanak adalah menjadi tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, ujar beliau lagi, Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak ini juga telah diluluskan pelantikan sebanyak 169 perjawatan kontrak daripada pelbagai skim perkhidmatan dan gred bagi tahun 2023 untuk memperkukuhkan struktur di peringkat ibu pejabat dan seterusnya di daerah serta jajahan.

Katanya, ia adalah bagi memastikan kecekapan dan perkhidmatan yang efektif serta profesional dapat diberikan demi kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.

Beliau turut menyeru masyarakat untuk terus cakna dalam melindungi kanak-kanak dan laporkan sebarang kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak di Talian Kasih 15999 atau Whatsapp 019-2615999 yang beroperasi selama 24 jam.

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *