Tempatan

Jadikan Al-Quran Panduan Atasi Cabaran Hidup

KUCHING: Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak menjadi landasan berguna untuk mendidik serta mengajak masyarakat menghayati bacaan ayat suci Al-Quran serta keindahan terjemahannya.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, kandungan yang disampaikan dalam kitab suci Al-Quran dapat dijadikan panduan kepada umat Islam mengharungi cabaran-cabaran kehidupan masa kini.

Jelasnya, sejarah telah menyaksikan kemunculan ramai ilmuan Islam yang menyumbang kepada peradaban manusia seperti Imam Al-Ghazali dalam bidang falsafah, Ibnu Khaldun dalam bidang sejarah, sosiologi dan ekonomi, Ibnu Sina dalam bidang perubatan dan ramai lagi.

“Ilmu bidang-bidang yang mereka terokai adalah ilmu yang telah menyumbang kepada peradaban dalam kehidupan manusia.

“Maka dalam konteks ini, Sarawak kini hendak menjadi negeri maju menjelang 2030 dengan kepercayaan dan keyakinan rakyat Sarawak kepada pemerintahan yang ada pada hari ini.

“Kita hendak mengangkat negeri kita sebagai negeri yang maju, rakyatnya aman dan makmur dengan pendapatan yang cukup dan seterusnya kedudukan kita yang dihormati orang lain,” katanya berucap semasa merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak kali Ke-61 tahun 1443H/2022M bertemakan ‘Ummah Berkualiti’ di Dewan Majma Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, Kompleks Islam Sarawak pada Ahad.

Ketua Menteri menambah Kerajaan Negeri juga bertekad untuk mengangkat martabat Sarawak sebagai negeri maju berpendapatan tinggi dengan ekonomi yang lebih berstruktur.

Seramai 12 Qari dan Qariah memperdengarkan bacaan masing-masing sepanjang majlis yang bermula sejak 25 Februari lalu. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *