KUCHING: Kerja-kerja oembinaan Jambatan Sejingkat merentasi Sungai Sarawak sepanjang 1.28 km menghubungkan Tanjong Bako dan Sejingkat dijangka siap Mac 2025.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Aidel Lariwoo berkata, setakat ini pembinaan jambatan tersebut sedikit lewat kerana kekurangan pekerja dan kenaikan harga barang.
“Ketika ini senbanyak 2.29 peratus telah siap berbanding 3.7 peratus daripada jadual asal dan tertangguh 71 hari.
“Saya telah meminta kontraktor berbincang dengan agensi pelaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tujuan tersebut,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan di tapak pembinaan pada Sabtu.
Jelas Aidel lagi, antara cabaran projek itu ialah pembinaan dua menara besar di tengah-tengah sungai yang akan menjadi jambatan tertinggi yang dibina di Sarawak setinggi 26 meter bagi membolehkan kapal melalui jambatan itu memasuki Pelabuhan Kuching.
Pembinaan Jambatan Sejingkat sepanjang 1,281.1 meter di Sungai Sarawak itu menelan kos sebanyak RM365,737,131 juta dan dibiayai sepenuhnya Kerajaan Sarawak.
Selain itu, beliau juga telah diberikan taklimat berkenaan dengan kemajuan Projek Menaik Taraf Jalan Tanjong Bako termasuk pembinaan jalan penghubung dari Tanjong Bako ke Projek Jambatan Samarahan.
Justeru, Aidel juga berharap ketiga-tiga projek itu dapat disiapkan serentak bagi melengkapkan rangkaian jalan raya Kuching dan Samarahan yang sekaligus dapat membantu menggurangkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua daerah.