Nasional

Jangan lakukan pembaziran makanan di bulan Ramadan – Agong

 KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, menyeru menasihati rakyat supaya tidak mensia-siakan pahala Ramadan dengan melakukan pembaziran makanan.

Baginda bertitah, sisa makanan menjadi penyumbang terbesar pada bulan Ramadan, terutamanya daripada juadah ketika berbuka puasa.

“Perkara ini bertentangan dengan hakikat Ramadan yang seharusnya menjadi bulan yang mendidik umat Islam supaya bersederhana dan tidak membazir. Apatah lagi terdapat larangan keras terhadap perbuatan boros dan membazir seperti firman Allah SWT menerusi ayat 27 Surah al-Isra’, yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya,” titah baginda.

Sambil mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan menunaikan ibadah puasa, baginda menyeru seluruh umat Islam untuk mengaut keberkatan di bulan Ramadan yang mulia bagi meneguhkan lagi ketakwaan dalam diri dan menggandakan ibadah serta amalan.

Baginda turut meminta semua umat Islam untuk memperbanyakkan ibadah sunat dan amalan kebajikan, memperkukuhkan ukhuwah sesama insan serta meninggalkan segala perbuatan yang sia-sia dan merugikan.

“Selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

“Semoga kita dapat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan dengan sempurna supaya dapat digolongkan bersama orang yang bertakwa di sisi Allah SWT.

“Syiar Ramadan sesungguhnya bertujuan untuk melahirkan manusia bertakwa sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 183 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, difardukan ke atas kamu ibadah puasa sebagaimana difardukan ke atas umat-umat sebelum kamu mudah-mudahan kamu menjadi golongan yang bertakwa (kepada Allah),” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Istana Negara, malam ini.

Baginda turut menzahirkan harapan semoga kehadiran bulan yang mulia ini disambut dengan rasa insaf dan syukur atas ujian, rahmat serta nikmat yang dikurniakan Allah SWT.

Seri Paduka Baginda berdua juga mengajak seluruh umat Islam mengambil keberkatan Ramadan untuk bersama baginda berdua mendoakan semoga Malaysia terus dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman dan musibah.-BERITA HARIAN 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *