Tempatan

Jenayah penipuan dalam talian meningkat 2021 berbanding tahun 2020

KUCHING: Trend jenayah penipuan dalam talian menunjukkan peningkatan kepada 2,816 kes pada tahun 2021 berbanding 1,462 kes tahun 2020,” demikian menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.

Katanya, statistik daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM Sarawak itu mendedahkan peningkatan sebanyak 92.16 peratus atau 1,354 kes bagi kedua-dua tahun tersebut.

“Kerugian jenayah komersil di Sarawak bagi tempoh tersebut adalah sebanyak RM72.7 juta bagi tahun 2021 berbanding RM65.6 juta dalam tahun 2020.

“Iaitu peningkatan kerugian sebanyak RM7.1 juta.

“Selain itu, tipu pembelian di internet (e-dagang) 667 kes melibatkan kerugian sebanyak RM3 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Pembangunan Sosial (MPS) Bil 1/2022 bersama agensi berkaitan di pejabatnya pada Isnin.

Tegasnya Dato Sri Fatimah lagi, jenayah siber berunsur penipuan dalam talian tidak mengenal mangsa.

Ujar beliau lagi, antara golongan profesional dan berpendidikan tinggi yang sering menjadi mangsa adalah doktor, jurutera, peguam, guru, pensyarah dan pegawai tinggi kerajaan turut menjadi mangsa sindiket yang sangat licik ini.

Justeru, orang ramai dinasihati agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati semasa mengakses apa-apa laman web dan media sosial  serta tidak sesekali mendedahkan maklumat peribadi, perbankan atau maklumat kewangan kepada orang lain yang tidak berkenaan dan tidak menerima permintaan menjadi rakan daripada individu tidak dikenali melalui media sosial terutama dari luar negara.

Semak Portal Semak Mule PDRM atau laman web
https://semakmule.rmp.gov.my/ jika anda was-was dengan nombor telefon dan nombor akaun yang diberikan suspek sebelum membuat apa-apa transaksi.

Hubungi CCID SCAM RESPONSE CENTER di talian 03-2610 1559 dan 03-2610 1599 dari jam 8 pagi hingga 8 malam (setiap hari) atau CCID INFOLINE di talian 013-211 1222 dari jam 8 pagi hingga 12 tengah malam (setiap hari) untuk menyalurkan maklumat, aduan dan pertanyaan khususnya melibatkan jenayah komersil.

Layari Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak untuk mendapatkan maklumat modus operandi terkini penipu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *