Dunia

Jim Carey akan saman Will Smith jika berada di tempat Chris Rock

LOS ANGELES: Pelakon dan pelawak Jim Carrey membidas penonton majlis Anugerah Akademi yang memberi penghormatan berdiri kepada aktor Will Smith sebaik namanya diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik sejurus selepas insiden Chris Rock ditamparnya.

Bahkan tegas Carrey, 60, jika berada di kedudukan Rock, dia tidak akan teragak-agak menyaman Smith AS$200 juta kerana video insiden itu akan kekal selama-lamanya.

“Saya sangat tidak selesa. Penghinaan itu akan kekal untuk tempoh masa yang lama. Kamu tidak ada hak untuk berjalan menuju ke pentas dan menampar seseorang hanya kerana kata-kata yang keluar dari mulutnya,” kata Carrey kepada hos Gayle King dalam program CBS Morning News.

Pelakon utama filem The Ace Ventura itu tidak menolak kemungkinan ada sesuatu yang ‘tidak kena’ dalam diri Smith sehingga menyebabkan dia bertindak sedemikian rupa sekali gus memperlihatkan sikapnya yang pentingkan diri sendiri.

Reaksi Carrey itu susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh pelakon Whoopi Goldberg yang juga menduduki kerusi ahli Lembaga pengarah Academy yang menegaskan, Smith boleh sahaja menyimpan trofi Oscar yang diraihnya, namun, aktor itu akan berhadapan dengan ‘implikasi yang besar’ kerana tiada siapa yang boleh menerima apa yang berlaku.

Majlis Oscar 2022 yang disiarkan secara langsung ke seluruh dunia dicemari dengan insiden aktor ternama Will Smith menampar selebriti Chris Rock di pentas anugerah berprestij itu di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat pada Ahad malam (Isnin pagi waktu Malaysia).

Insiden itu berlaku gara-gara Smith berang apabila Rock mempersenda isterinya, Jada yang kini muncul dengan imej botak.

Sejurus selepas melakukan tindakan yang mengejutkan seluruh khalayak penonton, Smith turun dari pentas dan kembali ke tempat duduknya seraya menjerit ke arah Rock dengan mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan.

Bagaimanapun, penonton di rumah tidak berpeluang mendengar apa yang keluar dari mulut Smith berikutan audio disenyapkan.-AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *