Tempatan

JKR Bahagian Miri jawab kos RM50,000 jeti Kampung Mutap

MIRI: Selain menggunakan kayu belian, pelbagai faktor juga turut diambil kira dalam menentukan kos pembinaan jeti Kampung Mutap, Bekenu yang menelan kos sebanyak RM50,000.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri dalam kenyataan pada Isnin berkata, ini termasuk kos logistik selain faktor keselamatan dan keadaan jalan untuk ke kawasan berkenaan.

Katanya, kayu belian yang digunakan pula bernilai RM9,000 semeter, lebih rendah daripada kadar harga pasaran.

“Dengan bajet RM50,000, JKR Sarawak berjaya mereka bentuk jeti sepanjang 15 meter dengan dua tangga,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kenyataan itu bagi menjelaskan, mengenai dakwaan warganet  di media sosial yang mendakwa kos pembinaan jeti itu tidak wajar dengan keadaan jeti itu. 

Menurut JKR Bahagian Miri lagi, cadangan awal adalah untuk membina jambatan keluli, namun terpaksa ditolak disebabkan kosnya yang terlalu tinggi.

Dimaklumkan juga, Ketua Kampung Mutap Sediah Abdullah memilih jeti daripada kayu belian sebagai ganti dan beliau perlu memohon peruntukan tambahan daripada wakil rakyat kawasan untuk pembangunan fasa kedua jeti itu.

“Ketika lawatan tapak, Ketua Kampung juga memaklumkan bahawa sungai itu turut dipenuhi buaya dan kontraktor yang dilantik hendaklah mengambil langkah berjaga-jaga apabila melaksanakan kerja pembinaan.

“Kebimbangan lain termasuk akses jalan ke Kampung Mutap adalah jalan ladang dan amat membebankan,” katanya.

JKR Bahagian Miri juga berkata, cabut undi bagi projek itu dibuat pada 30 November 2021 di Pejabat Residen Miri dan kontraktor yang dipilih ialah Syarikat Bukit Balat dengan kontrak yang ditawar untuk permulaan kerja pada 7 Mac 2022 hingga 6 Jun 2022.

“Projek berjaya disiapkan pada 6 April 2022 dan pemeriksaan tapak terakhir dilaksanakan secara bersama oleh JKR Bahagian Miri, Ketua Kampung dan kontraktor,” katanya yang memberitahu jeti diserahkan kepada Ketua Kampung selepas penilaian kerja akhir memuaskan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *