Tempatan

JPBNS akan bermesyuarat dalam masa terdekat, bincang keadaan cuaca panas 

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat ini bagi membincangkan isu-isu berbangkit ekoran cuaca panas dan kering yang dihadapi ketika ini.

Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, mesyuarat itu nanti akan membincangkan langkah-langkah pencegahan sewajarnya diambil terutama mengelak berlakunya kejadian jerebu setempat. 

“Musim tengkujuh sudah berakhir (untuk kita) sekarang dan sejak minggu lepas kita mengalami cuaca panas serta kering.

“Jadi kita mahu memaklum serta mengingatkan semua jawatankuasa pengurusan bencana peringkat bahagian memantau rapat semua titik panas dan berpotensi (menjadi titik panas) di bahagian masing-masing,” katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Darul Syifa di Spaoh, Betong, pada Sabtu. 

Ujar Uggah, yang juga Pengerusi JPBNS lagi, semua jawatankuasa pengurusan bencana peringkat bahagian (JPBPB) diminta sentiasa berwaspada dan bersedia khususnya dalam membuat persiapan sewajarnya mendepani insiden kebakaran serta masalah-masalah lain yang berkaitan.

Sehubungan itu beliau berharap orang ramai dan mereka yang terlibat dalam industri perladangan tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka pada masa ini.

“Semakin lama musim kemarau, serpihan kayu dan tumbuh-tumbuhan di semua tempat akan menjadi sangat mudah terbakar.

“Jadi bahayanya kebakaran kecil boleh menjadi besar terutama di kawasan tanah gambut. Oleh itu kita semua harus berhati-hati,” tegasnya.

Sebelum ini, pada Sabtu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Sarawak memaklumkan akan terus memantau keadaan cuaca panas yang berlaku meskipun negeri ini masih belum ada tanda peningkatan suhu seperti di Semenanjung Malaysia.

Pengarahnya, Khairul Najib Ibrahim berkata, bagi Sarawak pihak MetMalaysia mendapati suhu maksimum harian yang direkodkan setakat ini adalah di antara 32 hingga 34 darjah celsius (ºc).

“Walaupun dari segi iklim dan cuaca Semenanjung dan Borneo adalah sama tetapi impak atau kesan yang diterima adalah berbeza.

“Pihak MetMalaysia akan sentiasa memantau keadaan dan akan memaklumkan kepada orang ramai sebarang perubahan terhadap suhu melalui saluran-saluran rasmi jabatan,” katanya.

Menurut METMalaysia, suhu normal adalah suhu maksimum harian kurang daripada 35ºc.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *