Tempatan

JPBNS siap siaga hadapi kemungkinan banjir: Uggah

KOTA SAMARAHAN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir di negeri ini yang diramalkan berlaku antara Jun dan November.

Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata JPBNS telah mengadakan beberapa mesyuarat sebagai persiapan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam sama ada pada musim kering mahupun tengkujuh.

“Ini sudah menjadi rutin, kami melakukannya setiap tahun. Kami mempunyai struktur seperti jawatankuasa pengurusan bencana peringkat daerah yang akan melihat semua persediaan setiap daerah, selain itu kami mempunyai jawatankuasa peringkat bahagian dan negeri.

“Jawatankuasa ini dianggotai pelbagai agensi seperti polis, kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan banyak lagi.

“Kita juga telah mengadakan mesyuarat berkaitan dengan kemudahan kita, termasuk pangkalan hadapan, seperti pusat pemindahan sementara, tempat menyimpan barangan makanan dan sebagainya,” katanya.

Timbalan Premier itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Komemoratif Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang diadakan di DeTAR Putra UNIMAS di sini pada Rabu.

Dalam hal ini, Uggah menyatakan penghargaannya terhadap sumbangan dan peranan UNIMAS dalam membantu JPBNS menangani kekurangan akses telekomunikasi dan Internet, khasnya di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri ini.

Katanya, UNIMAS komited membantu menyediakan sukarelawan khidmat radio, sekiranya di kawasan pedalaman menghadapi sebarang masalah dan memaklumkan kepada JPBNS.

“Kita juga mempunyai Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT) yang ditubuhkan di negeri ini dan tujuan mereka adalah untuk mempersiapkan diri dalam menghadapi bencana banjir, selain sebagai sandaran kepada jentera di tempat yang sukar dicapai.

“Mereka juga boleh membantu menggerakkan orang ramai berpindah dari tempat berbahaya ke kawasan selamat dan memantau bekalan makanan mencukupi,” katanya lagi. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *