Nasional

JPJ adakan Op Bersepadu sempena Aidilfitri bermula 18 hingga 27 April ini

BENTONG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan Op Bersepadu sempena Aidilfitri, bermula 18 hingga 27 April ini, demikian menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Tambahnya lagi, pemantauan ini akan ditingkatkan di 231 lokasi seluruh negara yang telah dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ atau kawasan kerap berlaku kemalangan.

“Bagi kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan, biasanya pendekatan digunakan ialah menempatkan kereta peronda untuk mengadakan rondaan supaya dengan kehadiran pegawai penguat kuasa, pemandu akan lebih berhati-hati.

“Saya berharap pengguna akan mematuhi peraturan jalan raya, terutama di kawasan Pahang kerana ia merupakan laluan utama ke Pantai Timur dari Lembah Klang dan sudah tentu berjuta kenderaan akan lalu. Selain itu, kita juga akan melaksanakan larangan terhadap kenderaan berat seperti biasa,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pejabat Baharu JPJ Bentong, di Jalan Chamang, di sini, pada Selasa. 

Mengulas lanjut, pembinaan cawangan baharu JPJ Bentong ini, ia bertujuan menggantikan pejabat sedia ada di Taman Datuk Shah Bandar Hussin, yang telah beroperasi sejak 1983.

Sehubungan itu, kerajaan bersetuju meluluskan pembinaan bangunan berkonsepkan pejabat pintar di tapak berkeluasan kira-kira 0.6474 hektar dengan peruntukan RM10.4 juta bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan dijangka siap pada April 2025.

Apabila siap kelak, ia akan memberi manfaat kepada hampir 120,000 penduduk daerah ini serta masyarakat sekitar, selain kakitangan JPJ sendiri.

Beliau turut memaklumkan mengenai pembinaan pejabat baru JPJ di dua negeri iaitu di Sarikei, Sarawak, dan Muar, Johor.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, dan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim.

Exit mobile version