JPJ akan adakan operasi khas buru lori bawa lebih muatan
KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak akan mengadakan operasi khas bagi memburu lori-lori yang ingkar peraturan jalan raya dengan membawa lebih muatan terutamanya di pangkalan feri di negeri ini.
Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili berkata pemantauan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa di semua lokasi di Sarawak bagi membendung isu tersebut.
“Kita (JPJ) mengambil maklum tentang kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato Dr Juanda Jaya berhubung isu ini.
“Kita bagi pihak JPJ Sarawak memandang serius isu lori lebih muatan ini dan bagi memastikan perkara ini tidak berulang pemeriksaan akan dibuat dari semasa ke semasa.
“Pada masa sama tindakan akan diambil dan kita akan ke lokasi-lokasi (pangkalan feri) untuk membuat pemantauan menerusi operasi khas yang akan dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan pelaksanaan Op Hari Raya Aidilfitri 2022 (OP HRA 2022) di Terminal Bus Sentral, Kuching pada Sabtu.
Tambah Norizan lagi pihaknya akan melakukan pemeriksaan dari Kuching hingga Mukah bagi memastikan perkara ini dapat dibendung.
Ujarnya lagi, pihaknya memandang serius isu lori lebih muatan ini agar dapat dipastikan perkara ini tidak kembali berulang.
Baru-baru ini Dr Juanda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng telah memuat naik hantaran di Facebooknya selepas berlakunya sebuah lori dengan muatan sawit yang lebih muatan ‘tersangkut’ ketika hendak masuk menggunakan perkhidmatan feri di Batang Igan.
Akibat kejadian itu, besi penghadang had ketinggian kenderaan yang dipasang di laluan pangkalan feri berkenaan rosak selain menyebabkan kesesakan di laluan berkenaan sekali gus menyukarkan pengguna lain.