Sukan

Juara Liga Super musim ini akan terima Habuan berjumlah RM2.4 juta

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super musim ini akan menerima habuan berjumlah RM2.4 juta menerusi sistem pengagihan 2023-2025 yang buat kali pertama diperkenalkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Pengenalan sistem agihan berasaskan merit itu turut membolehkan lima lagi pasukan dalam kelompok enam teratas meraih habuan lebih RM1 juta.

Malah, pasukan yang menduduki kedudukan paling rendah juga mampu membawa pulang sekurang-kurangnya RM600,000 berbanding hanya RM250,000 pada tahun lalu.

Sistem pengagihan kepada 14 kelab Liga Super 2023 ini bakal menyaksikan peningkatan sebanyak lebih 96.55 peratus iaitu RM15.675 juta berbanding RM7.975 juta yang diagihkan kepada 14 kelab yang sama musim lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam menjelaskan peningkatan sebanyak RM6.95 juta itu akan diagihkan kepada setiap kelab berdasarkan prestasi masing-masing di penghujung musim ini.

Beliau berkata, ia tidak termasuk wang kemenangan kepada juara dan naib juara Piala MFL sebanyak RM500,000 dan RM250,000 sekali gus menjadikan jumlah agihan tambahan keseluruhan sebanyak RM7.7 juta.

“Sistem agihan pendapatan berdasarkan merit ini sudah dibentangkan kepada semua Rakan Kongsi Liga dalam pertemuan bersama CEO kelab Liga Malaysia pada 15 Februari 2023 di mana sistem agihan pendapatan ini dilihat lebih adil buat kelab yang mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang musim Liga Malaysia 2023.

“Pembentangan itu mendapat reaksi cukup baik dan mereka menerima cadangan agihan pendapatan berdasarkan merit untuk diperkenalkan tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, peningkatan agihan pendapatan kepada semua kelab Liga Super musim ini adalah satu petanda positif terhadap perkembangan Liga M.

“MFL melihat sistem agihan pendapatan ini akan menggalakkan semua kelab bersaing hebat bagi mendapatkan kedudukan terbaik sekali gus menerima lebih banyak pendapatan.

“Adalah tanggungjawab MFL sebagai badan pengelola liga untuk berusaha meningkatkan pendapatan kelab dan kami percaya dengan kerjasama syarikat korporat serta rakan penyiar, Liga Malaysia dapat terus dikomersilkan bagi meningkatkan pendapatan kelab,” katanya.

Pada tahun 2021-2022, susulan kesan pandemik COVID-19 yang melanda, agihan dilakukan berdasarkan dua asas iaitu agihan sama rata sebanyak RM500,000 kepada setiap kelab Liga Super dan RM250,000 bagi Liga Perdana selain hanya kelab yang berada di kedudukan tiga teratas Liga Super atau Liga Perdana akan memperoleh hadiah wang tunai tambahan.

Bagi tahun 2023, MFL menyediakan mekanisme agihan yang akan melihat semua pasukan mengetahui dengan jelas peningkatan pulangan mereka berdasarkan kedudukan di tangga liga.-BERITA HARIAN

Exit mobile version