PUTRAJAYA: Pemberhentian eksport 3.6 juta ayam sebulan bermula 1 Jun ini adalah antara lima pendekatan segera jangka pendek diumumkan kerajaan hari ini, dalam usaha mengatasi isu kekurangan bekalan bahan makanan itu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri menegaskan, tindakan terbabit diputuskan mesyuarat Kabinet hari ini yang akan berkuat kuasa hingga harga dan pengeluaran ayam tempatan, kembali stabil dengan memberi keutamaan untuk memenuhi keperluan rakyat negara ini.
Lima langkah atasi isu harga, bekalan ayam
- Menghentikan eksport ayam 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini hingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil (Keutamaan Kerajaan adalah Rakyat sendiri)
- Mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi
- Memansuhkan Approved Permit (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan peluang pembabitan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan
- Mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam
- Menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam
Ismail Sabri berkata, selain menghentikan eksport ayam terbabit, kerajaan juga akan mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi kerajaan yang lain.
“Kerajaan mengambil berat dan memandang serius terhadap isu peningkatan harga dan bekalan ayam semasa yang menghimpit seluruh Keluarga Malaysia.
“Kerajaan kesal dan kecewa terhadap tindakan beberapa syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran,” katanya dalam kenyataan media selepas mempengerusikan mesyuarat itu.
Mesyuarat Kabinet yang lazimnya diadakan pada Rabu setiap minggu, dipercepatkan kepada hari ini, bagi membincangkan isu membabitkan kos sara hidup yang dijangka meningkat.
Katanya, tindakan boleh diambil mengikut akta berkenaan dan lesen mereka yang terbabit dengan perbuatan itu juga boleh dibatalkan serta merta.
“Kerajaan meminta MAFI dan KPNDHEP melakukan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974).
“Mengikut akta itu, penalti bagi individu adalah denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua sekali, manakala perbadanan dan syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta,” katanya.
Isu kekurangan bekalan ayam meruncing pada hujung minggu lalu apabila ada syarikat pengeluar ayam bertindak tidak mengeluarkan ayam ke pasaran menyebabkan kekurangan bekalan ketika umat Islam masih lagi merayakan Aidilfitri sepanjang Syawal.
BH sebelum ini melaporkan, sesetengah peniaga ayam di Pasar Borong Selangor di sini, mengambil inisiatif mencari dan membeli ternakan itu daripada penduduk kampung untuk jualan pada Sabtu lalu, manakala ada juga terpaksa menutup perniagaan disebabkan kekurangan bekalan.
Pengusaha industri mendakwa, penternakan ayam seluruh negara menghadapi tumbesaran ternakan akibat cuaca kering kerana lambat mencapai berat matang yang sesuai untuk dipasarkan.
Masalah itu dijadikan alasan beberapa syarikat pengeluar menghentikan operasi pengeluaran, sekali gus bekalan dijangka terjejas sekurang-kurangnya untuk tempoh sebulan lagi.
Selain itu, Kabinet meminta kerjasama kerajaan negeri, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) untuk penanaman jagung, bagi jangka masa panjang.
Ismail Sabri berkata, keputusan itu berdasarkan pandangan Jemaah Menteri berkaitan penanaman jagung, untuk menjadi alternatif kepada makanan ayam.
“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diminta membentangkan pelan-pelan terbabit dalam masa terdekat, bagi projek penanaman jagung dan sebagainya.
“Kerajaan turut menggalakkan GLC, agensi kerajaan, pertubuhan peladang, dan koperasi untuk turut terlibat dalam penternakan ayam,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan mengkaji bantuan kepada mereka yang terbabit dalam industri itu, sebagai sebahagian pelan jangka sederhana dan jangka panjang oleh MAFI dan KPDNHEP.-BHARIAN