Politik

Kabinet bayangan PN bukti politik negara semakin matang

KUALA LUMPUR: Politik negara dilihat semakin matang dengan penubuhan Kabinet bayangan oleh Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik, Datuk Dr Jeniri Amir, berkata barisan Ahli Parlimen yang dipilih dalam barisan Kabinet mewakili pihak pembangkang itu juga dilihat mempunyai pengalaman dan kelayakan selaras dengan portfolio masing-masing.

“Kabinet bayangan ini perlu untuk proses semak dan imbang dalam pentadbiran negara. Mereka diharap akan mengkritik dan memberi komen mengenai dasar yang dibuat kerajaan,” katanya.

Walaupun tidak mempunyai kuasa eksekutif, beliau berkata, Kabinet bayangan mempunyai tugas dan tanggungjawab yang besar dan penting dalam memastikan wujudnya keseimbangan dalam pentadbiran negara.

Beliau berkata, rakyat kini mempunyai saluran kedua untuk menyampaikan aduan atau pandangan mereka dan jika ahli Kabinet bayangan mampu menjalankan tugas dengan baik, tidak mustahil mereka akan diberi kuasa eksekutif pada pilihan raya akan datang.

Tambah Dr Jeniri, rakyat akan sentiasa memantau Ahli Parlimen yang dipilih ketika pilihan raya, justeru semua perlu menjalankan tugas dengan baik.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Madya Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata penubuhan Kabinet bayangan itu adalah satu pendekatan yang sihat untuk memberi pandangan dan cadangan yang berkesan kepada kerajaan.

Beliau berkata, barisan ahli Kabinet bayangan yang dipilih juga dapat memberikan gambaran sebenar kepada rakyat sama ada kepemimpinan parti pembangkang benar-benar mengutamakan calon Kabinet yang berkepakaran, berpengalaman dan berintegriti.-BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *