Nasional

Kabinet Sabah setuju jawatan Ketua Menteri dihadkan dua penggal

KOTA KINABALU: Jemaah Kabinet Sabah secara dasarnya meluluskan cadangan pindaan Perlembagaan Negeri bagi membolehkan had pelantikan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, sekiranya kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersetuju menyokong cadangan berkenaan, perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat atau Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang untuk meminda Perlembagaan Negeri.

Memetik laporan Utusan Borneo pada Selasa, Abidin berkata ia juga satu cadangan yang baik memandangkan di peringkat Persekutuan juga sudah ada cadangan untuk menghadkan tempoh pelantikan Perdana Menteri.

“Kalau kita lihat pula di negara-negara barat yang maju seperti di Amerika Syarikat dan juga negara-negara barat yang lain, mereka juga menghadkan tempoh pelantikan Presiden dan Perdana Menteri masing-masing.

“Justeru, saya tekankan sekali lagi, sekiranya semua bersetuju dengan cadangan ini, kita akan bawa ke Persidangan DUN yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) mengenai cadangan untuk meminda Perlembagaan Negeri bagi membolehkan had pelantikan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja pada Persidangan DUN Sabah di sini pada Selasa.

Abidin berkata, sokongan daripada semua ADUN diperlukan untuk merealisasikan cadangan berkenaan.

Bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak (UMNO-Usukan) sama ada cadangan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Negeri, beliau menjelaskan, apa juga perkara berkaitan perundangan dan pindaan Perlembagaan Negeri akan dibincangkan bersama pegawai perundangan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *