Nasional

Kabinet setuju semak Akta Hasutan hanya lindungi institusi Raja

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip supaya Akta Hasutan 1948 (Akta 15) disemak bagi memastikan ia digunakan hanya untuk melindungi institusi Raja daripada sebarang provokasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata aspek lain berkenaan provokasi membabitkan agama dan bangsa akan turut diteliti termasuk penggubalan perundangan baharu jika perlu.

Katanya, ia penting mengenai keharmonian dan perpaduan negara dengan mengambil kira pandangan institusi Raja sebagai ketua agama Islam dan amalan serta prinsip terbaik antarabangsa.

“Hari ini, saya membentangkan kepada Jemaah Menteri hasil Dialog Perundangan 3R yang diadakan pada 21 Julai 2023 dalam menangani isu provokasi membabitkan agama bangsa dan institusi Raja (3R) yang dihadiri wakil kementerian dan jabatan termasuk Kementerian Perpaduan Negara, badan peguam, Pertubuhan Masyarakat Madani (CSO), Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta ahli akademi.

“Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip supaya Akta Hasutan 1948 disemak dengan sewajarnya bagi memastikan perundangan ini digunakan hanya untuk melindungi Institusi Raja-Raja daripada sebarang provokasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau lagi, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) juga akan mengambil langkah sewajarnya dalam menyemak secara terperinci akta berkenaan.

Katanya, ia bagi memastikan cadangan pindaan yang bakal dicadangkan adalah untuk bertujuan untuk melindungi Institusi Raja-Raja secara holistik.

Azalina sebelum ini dilaporkan berkata, hasil perbincangan bersama beberapa agensi termasuk NGO berhubung perundangan berkaitan isu 3R akan dibentang ke mesyuarat Kabinet.

Ia bagi membolehkan Jemaah Menteri menilai sama ada undang-undang sedia ada mencukupi atau perlu ditambah baik, sekali gus mengekang penggunaan isu terbabit terutama sebagai senjata politik.

Sebelum ini, dua bekas Menteri Undang-Undang sependapat bahawa Akta Hasutan 1948 perlu terus dikekalkan, khususnya bagi melindungi institusi diraja daripada diperlekeh dan dihina.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Akta Hasutan tidak wajar dimansuhkan selagi perkara dan nilai bawah undang-undang itu masih perlu dilindungi serta dipertahankan.

Bekas Menteri Undang-Undang, Tan Sri Syed Hamid Albar pula percaya hanya Akta Hasutan sesuai digunakan untuk menyekat ahli dan parti politik daripada menggunakan isu 3R (Raja, kaum dan agama) secara keterlaluan.

Bagaimanapun, beliau berpandangan Akta Hasutan perlu dipinda bagi memastikan undang-undang itu digunakan secara adil dan tidak menzalimi mana-mana pihak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *