Tempatan

Kadar zakat fitrah Sarawak RM7.50

KUCHING: Tabung Baitulmal Sarawak telah memaklumkan bahawa kadar Zakat Fitrah bagi tahun 1445H/2024M ialah RM7.50 sahaja untuk seorang seperti yang telah dietapkan oleh Majlis Islam Sarawak.

Menurut Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak Datu Abang Mohd. Shibli Abang Mohd. Nailie, kadar berkenaan telah mendapat kelulusan daripada mufti dan Majlis Islam Sarawak (MIS) serta telah dipersetujui oleh pihak Kerajaan.

“Kadar ini tidak jauh beza dengan negeri-negeri lain di Malaysia dan ia adalah satu kadar yang mampu untuk masyarakat Islam kita membayar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengagihkan keperluan sekolah kepada 50 anak asnaf di Ummah Distribution Centre (UDC), Medan Hamidah, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat Islam di negeri ini untuk menunaikan tanggungjawab mereka seawal yang mungkin bermula daripada satu Ramadan sehingga hari terakhir Ramadan.

Shibli juga memberitahu, bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam yang menunaikan kefardhuan Zakat Fitrah pada bulan Ramadan, TBS telah menyediakan pelbagai kaedah pembayaran termasuk di semua kaunter TBS dan melalui 788 Amil yang bertauliah di seluruh Sarawak.

Selain itu, beliau menambah, bayaran Zakat Fitrah juga boleh dibayar atas talian melalui Portal Baitulmal Kamek, Aplikasi Tabung Baitulmal Sarawak dan aplikasi mudah alih Sarawak Pay serta semua saluran perbankan atas talian di pelbagai bank.

Shibli turut menegaskan kepentingan kesedaran umat Islam untuk membayar Zakat Fitrah tanpa menunggu saat-saat akhir kerana kelengkapan kaedah penbayaran telah tersedia.

“Ini kerana wang fitrah ini akan kami gunakan untuk diberi kepada asnaf-asnaf yang layak, jadi asnaf ini akan menggunakan wang ini untuk mereka sama-sama meraikan Aidilfitri,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *