Dunia

Kanada luluskan vaksin COVID-19 untuk bayi dan kanak-kanak, 6 bulan hingga 5 tahun

TRENTON : Kanada telah meluluskan penggunaan vaksin jenis Moderna untuk bayi dan kanak-kanak berusia enam bulan hingga lima tahun, berdasarkan kajian saintifik mendapati vaksin itu “selamat dan berkesan”, menurut Agensi Kesihatan Awam Kanada, Health Canada pada Khamis.

“Selepas kajian saintifik yang menyeluruh, jabatan telah memastikan bahawa vaksin itu selamat dan berkesan untuk mencegah COVID-19 terhadap kanak-kanak berumur antara enam bulan hingga lima tahun,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan agensi itu di Twitter.

Dos yang diluluskan adalah satu perempat daripada dos dewasa, dan dos kedua akan diberikan sekurang-kurangnya sebulan selepas dos pertama.

Health Canada memaklumkan pihaknya akan memantau kesan sampingan vaksin, memandangkan ini adalah pertama kali vaksin COVID-19 diluluskan untuk kumpulan umur itu.

Syarikat pengilang turut diarahkan untuk memberi laporan berterusan mengenai vaksinasi.

Kajian menunjukkan bahawa vaksin yang diberikan kepada kumpulan itu mempunyai hasil sama seperti vaksinasi terhadap golongan belia berumur 18 hingga 25 tahun.

Kelulusan itu bermakna kira-kira dua juta kanak-kanak kini layak untuk menerima suntikan vaksin.

Kesan sampingan termasuk sakit, mengantuk, hilang selera makan, demam, bengkak pada tempat suntikan, sakit otot dan sakit perut mungkin terjadi.-BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *