KUCHING: Tidak mengambil vaksin COVID-19 yang tidak lengkap merupakan faktor utama kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dijangkiti COVID-19.
Statistik dapat dilihat dalam laporan harian COVID-19 Sarawak sejak 1 Mac lepas.
Doktor yang juga pensyararah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS, Profesor Madya Dr Helmy Hazmi berkata, kanak-kanak berumur antara 5 hingga 11 tahun baru saja mendapat suntikan pertama dan belum menerima perlindungan lengkap.
Katanya, ia juga mendatangkan risiko untuk mendapat Multi-System Inflammatory Syndrome Covid-19 (MIS-C) yang boleh membawa maut, walaupun kebanyakan kanak-kanak dijangkiti COVID-19 mengalami gejala yang ringan atau tiada gejala langsung.
“Kajian mendapati satu dalam tiga kanak-kanak yang mengalami MIS-C memerlukan rawatan rapi di ICU.
“Oleh itu, saya sarankan untuk menggalakkan ibu bapa untuk pergi mendapatkan suntikan vaksin untuk anak mereka,” katanya pada Khamis.
Mengulas lanjut mengenai peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak, beliau menjelaskan ini bukan sahaja dilihat di Malaysia ataupun Sarawak, malah juga di Amerika Syarikat.
“Dikatakan kadar kemasukan ke hospital akibat COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak disebabkan oleh Omicron ini 5 kali ganda berbanding varian Delta terdahulu,” jelasnya lagi.
Selain faktor vaksinasi, Dr Helmy juga menegaskan faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan kes dalam kalangan kanak-kanak juga disebabkan pergerakan kanak-kanak di dalam komuniti, faktor musim cuti sekolah dan varian Omicron yang sangat mudah berjangkit.
Justeru itu, ibu bapa dan penjaga perlu bijak menilai situasi dan keadaan semasa dan bertindak untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada anak-anak.
Dalan pada itu, kanak-kanak juga mesti dibiasakan untuk mencuci tangan selalu, menggunakan pelitup muka secara betul terutamanya apabila terdapat keperluan keluar dari rumah.