Dunia

Kanak-kanak catat kadar jangkitan COVID-19 tinggi

SINGAPURA: Kadar jangkitan bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun kini adalah sekitar 67 bagi setiap 100,000 penduduk di republik ini.

Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, ia kerana coronavirus varian Omicron lebih berkemungkinan menjangkiti kanak-kanak berbanding varian Delta.

“Bagaimanapun, hospital buat masa ini mungkin tidak tertekan seperti yang berlaku seperti semasa gelombang Delta, di mana terdapat keperluan untuk memastikan katil kanak-kanak mencukupi.

“Kadar jangkitan bagi kanak-kanak berumur 5-11 tahun kini adalah sekitar 67 bagi setiap 100,000 penduduk dan usia 12-19 tahun mempunyai kadar jangkitan tertinggi seterusnya, iaitu sekitar 55 bagi setiap 100,000 penduduk.

“Ini agak berbeza berbanding semasa gelombang Delta, yang kebanyakannya menjangkiti orang dewasa lebih tua,” katanya.

Tambah beliau, kadar jangkitan dalam kalangan kumpulan umur yang lebih tua kini lebih rendah, tetapi tidak memberi butiran lanjut.

“Dengan lebih ramai kanak-kanak dan orang muda dijangkiti, kes yang teruk tidak dapat dielakkan dan kita perlu memastikan katil mencukupi untuk mereka.

“Hospital awam dan swasta menyediakan lebih banyak katil bagi mereka manakala kemudahan rawatan COVID-19 juga menukar lebih banyak katil untuk kanak-kanak dan penjaga mereka,” katanya.

Namun, kata Ye Kung, kemasukan ke hospital bagi kanak-kanak akibat COVID-19 selalunya sebagai langkah berjaga-jaga, dengan tempoh singkat sekitar dua hingga tiga hari.

“Bagaimanapun, adalah penting untuk memberi mereka vaksin bagi melindungi mereka daripada risiko penyakit yang teruk sekiranya mereka dijangkiti,” katanya. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *