Sukan

Kanak-kanak Hungry ejek pemain England, Southgate bingung

PENGURUS pasukan kebangsaan England Gareth Southgate berasa bingung tentang mengapa kanak-kanak Hungary mengejek pemain England sewaktu mereka melutut sebelum kekalahan pasukan The Three Lions itu dalam aksi Liga Negara-Negara Eropah awal pagi tadi.

Jaringan penalti Dominik Szoboszlai dalam babak kedua sudah cukup untuk memastikan kemenangan 1-0 Hungary di Arena Puskas.

Perlawanan Kumpulan A3 itu sepatutnya berlangsung secara tertutup berikutan hukuman yang sedang dihadapi Hungary gara-gara kelakuan perkauman penyokong mereka di stadium sama sewaktu saingan Euro 2020 tahun lalu.

Bagaimanapun, golongan kanak-kanak dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan itu, dimana seramai 35,000 golongan itu menjadi saksi rekod 22 perlawanan tanpa kalah England dileburkan di Budapest.

Masih terdapat ejekan ketika pemain England berlutut sebelum perlawanan itu, di Stadium yang sama ketika beberapa pemain Southgate menjadi mangsa ejekan perkauman sewaktu pusingan kelayakan Piala Dunia pada September lalu.

Pengurus England itu berkata kepada Channel 4: “Perkara pertama adalah mengapa kami melakukannya (berlutut) adalah untuk memberikan pendidikan kepada seluruh dunia. Saya tidak faham mengapa ada yang mahu mengejek tindakan itu.

“Saya kerap memikirkannya, orang muda terutamanya, mustahil mereka tahu apa yang mereka lakukan, jadi mereka telah terpengaruh dengan orang dewasa. Keputusan UEFA (Kesatuan Bolasepak Eropah membenarkan kehadiran penonton) adalah untuk orang lain menentukannya.

“Saya fikir kami telah menetapkan pegangan kami sebagai satu pasukan, semua orang tahu apa yang kami percaya dan apa yang kami pertahankan.

“Saya fikir malam ini, saya perlu fokus kepada bola sepak.

“Apabila anda kalah, anda tidak boleh terlalu banyak bercakap mengenai perkara lain kerana saya fikir ia agak kurang bertanggungjawab terhadap keputusannya,” katanya.-STADIUM ASTRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *