BETONG: Seorang kanak-kanak lelaki menjadi korban kebakaran di Rumah Polly Sulau, Bukong Asal, Jalan Lidong yang berlaku pada Isnin.
Mangsa Rezdesson Carlos Robson, 5, ditemui rentung oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong yang dipercayai terperangkap di bilik dapur rumah mereka semasa kebakaran berlaku.
Ibu mangsa Ency Shaylla, 25, melecur 32.5 peratus manakala adik perempuan mangsa, Elsa Amanda Robson, 2, turut melecur 44.5 peratus.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat BBP Betong PBK1 Henry Jugah yang turut serta dalam operasi pemadaman memberitahu, kebakaran melibatkan sebuah rumah panjang jenis tidak kekal satu tingkat telah terbakar sepenuhnya.
“Sebuah rumah panjang 11 pintu yang didiami 59 penghuni telah musnah dalam kebakaran yang telah meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun.
“Dua lagi mangsa yang cedera melecur sempat menyelamatkan diri daripada api yang marak dan meranapkan rumah mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung kebakaran rumah panjang yang berlaku dekat sini, hari ini.
Tambahnya, pihaknya menghadapi kesukaran sampai ke tempat kejadian kerana laluan berbukit dan jalan terlalu sempit untuk jentera masuk ke kawasan terbabit.
“Tiada liputan rangkaian komunikasi dan capaian Internet menyebabkan kesukaran untuk berhubung keluar juga menyumbang kepada kelewatan bantuan diterima,” ujarnya.
Agensi lain yang membantu adalah polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Residen Bahagian Betong dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Betong. – SN