Dunia

Kapal Perancis jadi hospital rawat mangsa parah Gaza

AL-ARISH: Di atas kapal perang Perancis di luar pantai Mesir, rakyat Palestin yang cedera menerima rawatan kesihatan yang tidak dapat diperolehi di Semenanjung Gaza yang dikepung selepas genosid berbulan-bulan.

Duduk di atas kerusi roda, Abdulrahman Iyad meletakkan tangannya di riba perlahan-lahan berhampiran batang besi yang terkeluar dari pahanya.

Dia menatap telefon bimbitnya, melihat foto ahli keluarganya yang kesemuanya terbunuh dalam letupan yang turut mengoyakkan mukanya.

“Saya terpelanting ke arah dinding rumah jiran kami, dengan kaki saya terperangkap di bawah siling yang runtuh,” kata Iyad memberitahu AFP di dalam helikopter pengangkut Perancis Dixmude, yang digunakan sebagai hospital untuk merawat warga Palestin yang cedera.

“Apabila saya tersedar di hospital, bapa saudara saya memberitahu saya mereka telah melawat saya, tetapi saya tidak ingat apa-apa.”

Rumah Iyad, seperti kebanyakan rumah wilayah Palestin yang dibom rejim Israel sejak awal Oktober, kini telah menjadi runtuhan.

Pertempuran bermula pada 7 Oktober, apabila kumpulan bersenjata Palestin Hamas melancarkan serangan ke atas Tel Aviv dari Semenanjung Gaza.

Serangan itu mengakibatkan kira-kira 1,140 kematian, kebanyakannya orang awam.

Israel kemudian memulakan genosid yang telah membunuh sekurang-kurangnya 25,105 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.

Misi mencari dan menyelamat mustahil untuk dilancarkan di wilayah yang masih dibom itu yang bermakna beribu-ribu terperangkap dan dianggap mati di bawah runtuhan, kata pakar perubatan.

Sistem penjagaan kesihatan hampir runtuh sepenuhnya, dengan hospital melebihi had dan doktor terpaksa merawat semakin ramai mangsa dengan sumber yang semakin berkurangan.

Kapal perang Perancis itu mula merawat pesakit pada November, di luar pantai pelabuhan Al-Arish, 50 kilometer di barat sempadan Mesir dengan Gaza.

Di dalam kapal, segelintir pesakit dan keluarga mereka berkumpul di sekeliling meja, leka bermain permainan kad.

Antaranya Nesma Abu Gayad, warga Palestin bermata cerah yang cedera parah apabila rumahnya dibedil.

“Saya telah dirawat di beberapa hospital di Gaza, sebelum tiba di Mesir,” katanya kepada AFP, kaki kanannya yang kudung terangkat dari kerusi rodanya.

“Langkah seterusnya ialah prostetik, tetapi saya perlu mendapatkan rujukan dan melakukan perjalanan untuk mendapatkannya ke luar negara.”

Doktor Perancis Marine yang berkhidmat di atas kapal Dixmude berkata, kapal perang itu setakat ini menerima 120 pesakit, kesemuanya kes serius yang memerlukan kemasukan ke hospital dalam tempoh yang lama.

Itu hanyalah minoriti kecil daripada lebih 62,000 orang yang telah cedera di Gaza, menurut kementerian kesihatan wilayah itu.

Seorang lagi doktor Perancis di Dixmude, Salle, mengakui terkejut dengan tahap kecederaan yang ditemui.

“Saya berkhidmat dalam tentera, jadi saya menangani luka perang tentera Perancis dan sekutu kami.”Tetapi apa yang mengejutkan saya ialah untuk mendapati luka sebegini dalam kalangan orang awam,” katanya. – AFP 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *