KUCHING: Kapel Sacred Heart yang di tempatkan di Pusat Jantung Sarawak merupakan kapel hospital pertama di Sarawak.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pengurusan Pusat Jantung Sarawak yang juga Pengerusi Kapel Sacred Heart Roy G Fender Entusa, penubuhannya bertujuan untuk mencorakkan suasana harmoni dan hidup bermasyarakat yang saling bertoleransi dalam kalangan masyarakat Sarawak khususnya.
“Dengan adanya kapel ini pesakit dan pekerja di Pusat Jantung Sarawak ini dapat menjalankan sembahyang dan juga aktiviti-aktiviti penyembuhan,” katanya pada Sabtu.
Sementara itu Uskup Agong Dr Simon Poh berkata, Kapel Sacred Heart dibina untuk kegunaan orang awam tanpa mengira agama untuk beribadah.
“Apabila seseorang itu sakit terutamanya ketika pandemik ini, tidak kira agama atau kaum, kita semua memerlukan tempat untuk mengerjakan ibadat, sekurang-kurangnya dengan adanya gereja dan surau, penganut yang berlainan agama mempunyai tempat untuk beribadat,” katanya ketika berucap di majlis Perasmian Kapel Sacred Heart pada Sabtu.
Turut hadir bersama Pengarah Pusat Jantung Sarawak, Dr Mohd Asri Riffin, Pengarah UNIFOR Sarawak Richard Lon dan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pengurusan Pusat Jantung Sarawak, Roy G Fender Entusa.
Kapel Sacred Heart dibuka kepada orang ramai setiap hari bermula jam 8:00 pagi sehingga 5:00 petang.