Nasional Kartel ayam: MyCC siasat dakwaan campur tangan politik

Kartel ayam: MyCC siasat dakwaan campur tangan politik

11

NILAI: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan campur tangan ahli politik dalam isu dominasi kartel industri penternakan ayam di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata laporan terperinci diperlukan dalam menentukan kesahihan dakwaan penglibatan mana-mana pihak dalam isu berkenaan.

“Isu ini bukan perkara mudah, siasatan terperinci diperlukan, baru boleh dipastikan. Kalau ada orang terlibat ia memerlukan siasatan yang rapi, tidak boleh terlalu cepat kata ada kartel,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2022 dan Program Jualan Malaysia Rancak Aidilfitri di AEON Mall Nilai.

“Saya tidak menafikan dan juga tidak mengesahkan (isu kartel), lebih baik tunggu laporan MyCC. Apabila siasatan siap, bukan hanya melibatkan KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) tetapi kementerian lain juga kerana ia berkaitan bekalan dan sebagainya,” tambahnya.

Beberapa media tempatan hari ini melaporkan campur tangan politik sejak sekian lama dalam isu membabitkan dominasi kartel dalam industri penternakan ayam di seluruh negara menyebabkan pihak terbabit terus bermaharajalela.

Laporan media berkenaan turut mendedahkan bahawa kartel turut menguasai pasaran harian berjumlah 1.5 juta ekor ayam, iaitu 70 peratus daripada keseluruhan 2.2 juta ekor ternakan itu yang dijual di seluruh negara setiap hari. -BERNAMA

Previous articleMenari bogel, pelakon Kanada diusir dari Pulau Bali
Next articlePemakluman awal dakwa Aidilfitri jatuh pada 2 Mei tidak benar – Balai Cerapan Al-Khawarizmi
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here