Nasional

Kawal perjalanan luar negara jimat belanja kerajaan – MoF

KUALA LUMPUR: Kementerian, jabatan dan agensi kerajaan hendaklah sentiasa mengambil langkah untuk mengawal perbelanjaan ke luar negara bagi mengelak implikasi kewangan tambahan, demikian mengikut Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

MOF dalam Pekeliling Perbendaharaan Malaysia – Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam berkata keperluan peruntukan tambahan bagi tujuan bertugas ke luar negara adalah tidak dipertimbangkan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Seri Asri Hamidon berkata perbelanjaan bertugas ke luar negara hanya dibenarkan bagi urusan seperti mesyuarat/rundingan berjadual/berkala atau persidangan yang telah diluluskan dalam belanjawan tahunan dan yang benar-benar penting serta memberi impak yang signifikan kepada kepentingan negara.

“Selain itu, ia turut dibenarkan bagi mesyuarat dan persidangan yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri dan pegawai pengawal digalakkan untuk melibatkan atau mewakilkan kehadiran ke mesyuarat atau persidangan tertentu kepada duta/Ketua Perwakilan Malaysia di negara berkenaan atau negara yang berhampiran, tanpa penyertaan pegawai dari Malaysia ataupun penyertaan secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata, kekerapan perjalanan maksimum atas tugas rasmi ke luar negara yang dibenarkan dalam tempoh setahun adalah tiga kali bagi Ketua Setiausaha/ Timbalan Ketua Setiausaha/ Ketua Jabatan/ Ketua Agensi, manakala dua kali setahun bagi lain-lain pegawai.

Sementara itu, Asri berkata pembelian dan perolehan barangan serta bahan import bagi perolehan baharu tidak dibenarkan kecuali barangan tersebut tidak terdapat dari sumber tempatan dan keperluan memperolehinya melalui import benar-benar mendesak dan sangat penting.

“Bagaimanapun, kementerian/ jabatan/ agensi perlu mendapatkan kelulusan MOF terlebih dahulu,” katanya.

Menurutnya, semua badan berkanun dan syarikat subsidiari hendaklah memberi keutamaan kepada pelaburan domestik.

“Sebarang pelaburan yang membabitkan pengaliran wang ke luar negara, tidak termasuk yang telah mempunyai komitmen, kontrak serta jadual pembayaran, hendaklah mendapat kelulusan MOF,” katanya. –BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *