Nasional Kawasan Delta Sarawak diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan

Kawasan Delta Sarawak diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan

4

KUCHING: Kawasan Delta Sarawak yang terletak di selatan negeri itu diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang keenam di bawah Program Pembangunan Geopark Kebangsaan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pengiktirafan itu dibuat pada 20 Jun lepas semasa Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Bilangan 1 Tahun 2022.

Katanya pengiktirafan itu adalah satu lagi pencapaian negara, khususnya kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam pemeliharaan kelestarian alam semula jadi dan pengurusan mampan kawasan berkepentingan kebangsaan yang memiliki nilai geotapak luar biasa.

“Kementerian percaya kerjasama erat yang terjalin antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Sarawak dapat memastikan Geopark Kebangsaan diurus secara baik.

“Di samping itu, usaha berterusan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat khususnya di dalam kawasan dan sekitar wilayah Geopark Kebangsaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui penglibatan masyarakat tempatan dalam pelbagai aktiviti dan program pembangunan geopark,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Berkeluasan 3,112km persegi, Geopark Kebangsaan Delta Sarawak kaya dengan keunikan landskap batuan (28 geotapak), kepelbagaian biologi (12 biotapak) dan budaya (14 tapak budaya).

Pelawat yang mengunjungi Geopark ini akan dapat melihat formasi rupa bumi yang didasari oleh pelbagai jenis unit yang berusia, daripada karbon hingga resen; kepelbagaian biodiversiti dengan spesies endemik di Borneo seperti Orang Utan, Orang Belanda (Proboscis Monkey) dan Cicak Batu Fairy dan kekayaan warisan budaya daripada seni bina, peralatan muzik, senjata sehingga kepada makanan yang terhasil daripada kewujudan masyarakat berbilang kaum.

Pengiktirafan keenam ini adalah selepas Geopark Lembah Kinta dan Geopark Lenggong, Perak; Geopark Kebangsaan Jerai, Kedah; Geopark Kebangsaan Kinabalu, Sabah dan Geopark Kebangsaan Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan.-BERNAMA

Previous articleIkan pari air tawar paling besar di dunia berjaya ditangkap
Next articleMEASAT-3d: Agong harap rakyat dapat manfaat pendigitalan, Internet pantas
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here