Rencana

Kegagalan di Sukan SEA Kemboja, siapa harus dipertanggungjawab?

PHNOM PENH: Siapa harus dipersalahkan dan bertanggungjawab?

Persoalan terbabit sudah mula berlegar sebaik Sukan SEA Kemboja ke-32 melabuh tirainya secara rasmi hari ini menyaksikan Malaysia mencipta kenangan yang mungkin tidak akan dilupakan apabila pulang menerusi rekod pencapaian terburuk dalam tempoh 20 tahun penyertaan negara di temasya dwitahunan itu.

Ketika negara lain seperti Singapura, Filipina dan tuan rumah iaitu Kemboja sudah mula mengorak langkah ke depan menerusi kejayaan gemilang dalam sukan tertentu, Malaysia pula dilihat bergelut hingga menjadi ‘santapan’ kepada pesaing lain sekali gus mengakhiri saingan di tempat ketujuh menerusi pungutan 34 emas, 45 perak dan 97 gangsa.

Ironinya, ketika ini Malaysia boleh dikatakan tidak layak untuk berdiri sama tinggi bersama pesaing seperti Thailand, Vietnam, Indonesia dan Filipina yang sudah jauh ‘beribu batu’ meninggalkan negara berdasarkan pencapaian terkini mereka.

Malah, ada antara sukan seperti renang dan olahraga menyaksikan keupayaan atlet Malaysia adalah bersaing dengan Laos dan Myanmar untuk mengelak daripada berada di tempat terakhir saingan.

Berdasarkan jumlah kutipan pingat dalam tempoh 20 tahun terakhir penganjuran Sukan SEA iaitu sejak 2003 di Hanoi, kali ini juga menyaksikan kilauan emas paling sedikit diraih Malaysia.

Selain gagal mencapai sasaran pingat, kedudukan keseluruhan Malaysia dalam senarai pungutan pingat juga dilihat lebih buruk berbanding edisi lalu.

Malaysia buat kali pertama jatuh ke tangga ketujuh keseluruhan berbanding kedudukan keenam yang diraih ketika di Hanoi dan perkara itu berlaku disebabkan tuan rumah Kemboja berada dalam kelompok atas.

Lebih memalukan apabila Malaysia sekali lagi berada di bawah Singapura yang sudah meraih 51 pingat emas dengan sebahagian besar pingat mereka hadir menerusi sukan renang.

Hanya menerusi dua acara sukan iaitu renang (22 emas) dan lawan pedang (6 emas) menjadi faktor mudah untuk Singapura berada di atas Malaysia.

Ketika ramai yang mahu mengetahui punca kegagalan itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Menterinya Hannah Yeoh membuat keputusan buat pertama kalinya pada edisi Sukan SEA kali ini segala perincian mengenai prestasi atlet tidak akan dibentang sebaik temasya dwitahunan itu berakhir.

KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hanya akan mengadakan sidang media khas bagi memperincikan perkara terbabit Jumaat ini.

Sementara itu, Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan Sea 2023 Datuk Mohd Nasir Ali mengakui bahawa pandangan peminat sukan tanah air dan pihak tertentu pastinya melihat pencapaian Malaysia di temasya dwitahunan itu sebagai satu kegagalan.

“Pada saya pingat yang kita ada dan kedudukan jatuh sikit disebabkan Kemboja naik ke kedudukan keempat dan sepatutnya Malaysia kekal.

“Ini (kegagalan dan terburuk) adalah pandangan orang namun perlu lihat kita ke Sukan SEA di Hanoi sebelum itu dua tahun setengah tiada sebarang latihan untuk atlet kerana Covid-19.

“Kita kena lihat di Hanoi dapat 39 manakala di Kemboja pula 34 dan itu tak banyak beza. Cuma perlu memperincikan selain perlu melihat faktor yang menyebabkan atlet negara kurang menyerlah,” katanya.-BERITA HARIAN

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022 

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/ 

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/ 

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news 

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/ 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *