Tempatan

Kehabisan stok punca bekalan minyak masak polibeg 1 kg berkurangan di pasaran

KUCHING: Kehabisan stok antara punca bekalan minyak masak polibeg 1 kilogram (kg) berkurangan di pasaran, terutamanya di premis runcit di sekitar bandar raya ini.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak, situasi ini hasil tinjauan yang dilakukan Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP berkenaan keberadaan bekalan ayam, telur ayam dan minyak masak, hari ini.

“Bagaimanapun keadaan ini hanya bersifat sementara dan peruncit kini sedang menunggu penghantaran minyak peket baharu daripada pemborong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di Sarawak, terdapat dua pengilang dan 13 syarikat pembungkus minyak masak dengan jumlah pengeluaran minyak masak bersubsidi sebanyak 4,517 metrik tan sebulan.

Dalam pada itu katanya, KPDNHEP telah mendapat mandat dan peruntukan daripada kerajaan untuk melaksanakan program bersifat ‘people centric’ dan salah satunya menyediakan subsidi minyak masak peket polibeg 1kg pada harga kawalan untuk meringankan kos sara hidup rakyat.

“Sebagai langkah sementara, kementerian melaksanakan Arahan Penetapan Had Pembelian Minyak masak polibeg 1kg di peringkat peruncit di mana setiap pengguna dihadkan membeli tiga peket polibeg 1kg bagi setiap pembelian.

“Berdasarkan maklum balas pengguna di lapangan di mana permintaan untuk minyak masak bersubsidi telah meningkat sejak akhir ini dan ada pengguna membeli lebih daripada keperluan sekali gus stok bekalan itu cepat habis,” jelasnya.

Justeru, bagi memastikan barang keperluan asas sentiasa stabil dan mencukupi, seramai 176 pegawai penguat kuasa dan 101 pemantau harga KPDNHEP sentiasa membuat pemantauan setiap hari.

Dalam perkembangan sama, KPDNHEP juga akan menjalankan pemeriksaan harian ke atas 270 premis peruncit terpilih (DDR), 85 pemborong terpilih (DDW) melibatkan barang kawalan dan keperluan asas seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, telur, ayam, bawang, susu tepung dan sayuran.

KPDNHEP kini giat melaksanakan Kempen Anti Sorok 2022 di mana ia menunjukkan impak positif dalam kalangan pengguna dan peniaga.

“Justeru, amaran keras dikenakan kepada mana-mana individu yang terbabit atau bersubahat dalam aktiviti penyelewengan dan menyorok barangan kawalan dan subsidi.

“Mana-mana individu yang melakukan kesalahan tersebut boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Barang (AKB) 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua- duanya sekali.

“Bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta  manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” tegasnya.

Selain pelaksanaan Kempen Anti Sorok, KPDNHEP memaklumkan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam akan diteruskan pelaksanaannya bermula 1 Julai 2022 sehingga 31 Ogos 2022.

Menurutnya, penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam telah ditentukan bagi enam barangan harga terkawal. Penentuan harga maksimum ini akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Pelaksanaan kawalan di bawah akta ini membolehkan kawalan harga dilakukan ke atas barangan harga terkawal bagi semua peringkat iaitu pengeluaran,pemborongan dan peruncitan,” tambahnya lagi.

Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

Sehubungan itu, masyarakat disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan dan penyorokan barang kawalan atau subsidi.

“Sekiranya pengguna mempunyai maklumat berkenaan salah laku peniaga berhubung perkara ini boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP melalui saluran WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000,” katanya.

Orang ramai juga boleh membuat aduan di Portal Aduan, e-aduan.kpdnhep.gov.my atau Call Centre 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my dan Ez ADU KPDNHEP Pejabat Perdagangan Dalam Negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *