KUCHING: Susulan rungutan, aduan dan keluhan pengguna berhubung kekerapan kelewatan penerbangan Air Asia dalam negara kebelakangan ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah mengadakan pertemuan dengan Air Asia pada Jumaat.
Menerusi kenyataannya menerusi laman twitter miliknya berkata, syarikat penerbangan Air Asia akan menambah pesawat secara berperingkat sebagai usaha mitigasi bagi mengelak isu kelewatan rangkaian penerbangan berulang.
“Menerusi penerbangan teknikal dan justifikasi rentetan isu kelewatan rangkaian penerbangan Air Asia baru-baru ini, mereka juga memaklumkan usaha mitigasi bagi mengelak masalah ini berulang.
“Selain menambah pesawat secara berperingkat (berbanding 40 ketika ini), aduan pelanggan juga diselesaikan menerusi empat saluran Air Asia,” katanya.
Turut dijelaskan mengenai kredit atau pulangan wang (refund), Air Asia Berhad akan memberi pulangan wang kepada penumpang tanpa sebarang isu.
Hadir sama dalam pertemuan itu adalah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Air Asia Datuk Kamarudin Meranun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Air Asian Berhad Riad Asmat, Ketua Setiausaha KPDNHEP Azman Mohd Yusof dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna) KPDNHEP Datin Roszanina Wahab.