KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menyediakan rumah kepada keluarga tambahan dari kawasan perkampungan Seberang Hilir yang terjejas oleh projek pembangunan Darul Hana.
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, mereka akan ditempatkan di kawasan Sungai Bedaun dan bukannya di projek perumahan Darul Hana.
“Kita sudah ada satu tatacara untuk memindahkan masyarakat di sana ke kawasan yang lebih baik.
“Saya sudah arahkan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) bersama wakil rakyat di sana untuk meneruskan usaha pemindahan yang dilakukan.
“Ada dua kategori, pertama keluarga asal dan yang kedua keluarga tambahan dan ini akan kita berikan rumah di kawasan Sungai Bedaun,” katanya ketika ditemui media selepas hadir di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi di sebuah hotel di Kuching pada Jumaat.
Sementara itu, Dr Abdul Rahman ketika ditemui berkata kesemua 13 buah kampung di Seberang Hilir dijangka akan dipindahkan ke Darul Hana pada tahun 2030.
“Anggaran awal kita 2,640 keluarga dari 13 kampung bermula dari Kampung Boyan hingga Kampung Bintawa akan terlibat.
“Tahun ini, kita bermula dengan dua kampung, Kampung Panglima Seman Lama dan Kampung Semarang,” katanya.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu lagi, hampir 80 peratus ketua keluarga dari dua kampung itu bersetuju untuk memilih rumah mereka, manakala selebihnya masih ada masalah dengan pemilikan tanah dan faktor lain.
Projek Darul Hana merupakan projek Kerajaan Sarawak menjadikan sebuah perkampungan moden melibatkan 2,970 keluarga dan kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM125 juta untuk pembangunan fasa pertama.