Tempatan

Kemajuan projek Jambatan Batang Lupar 2 14 hari lebih awal daripada jadual

SIMANGGANG: Projek pembinaan Jambatan Batang Lupar 2 terus menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dengan pencapaian yang mengikut jadual.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek yang dilaksanakan sejak Mac 2022 itu malah 14 hari lebih awal daripada jadual yang telah ditetapkan.

“Oleh itu kami menjangkakan jambatan ini akan siap pada Julai 2025,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pakej B2 Fasa 1 Cadangan Pembinaan Jalan Dari Jalan Kejatau Ke Jambatan Batang Lupar 2 di sini semalam.

Douglas Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak mendedahkan, projek berkenaan telah mencapai 42.65 peratus siap ketika ini.

Apabila siapnya projek yang menelan kos sebanyak RM223.63 juta itu, beliau berkata, ia bakal memendekkan perjalanan antara Sri Aman dan Betong selama 20 minit berbanding lebih satu jam sebelum ini.

Sementara itu, bercakap mengenai Projek Pakej B2 Fasa 1 Cadangan Pembinaan Jalan Dari Jalan Kejatau ke Jambatan Batang Lupar 2, menurut beliau, ia dijangka siap pada Ogos 2026.

Ujar beliau, projek bernilai RM154 juta itu yang mula dilaksanakan pada 21 Februari lepas dilaksanakan untuk mengelak jalan melalui bandar dan melibatkan kerja menaik taraf beberapa jalan iaitu Jalan Merdeka, Jalan Kejatau, Jalan Foochow dan Jalan Lingga-Sri Aman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *