Tempatan

KEMAS pergiat Program Pendidikan Literasi Fungsian, basmi buta huruf penduduk luar bandar

MARUDI: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mempergiatkan penganjuran Program Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) bagi meningkatkan tahap literasi di luar bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak ke arah meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Ketua Pengarah KEMAS Malaysia Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata, ia merupakan satu aktiviti tidak formal yang memberi peluang kepada warga dewasa, belia dan beliawanis serta golongan remaja yang tercicir daripada pendidikan formal dan mendapatkan bimbingan asas 3M iaitu membaca, menulis, dan mengira.

Menurut beliau, selain dari mempelajari 3M, peserta juga dapat menimba ilmu tambahan seperti kemahiran kraf tangan, anyaman dan masakan.

“Kini kelas PLF KEMAS semakin bekembang dan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat pedalaman yang memerlukan perkhidmatan tersebut.

“Peserta memperoleh pelbagai pengalaman dan kelebihan masing-masing seperti berkemampuan dalam menerapkan asas 3M dalam kehidupan seharian mereka.

“Sebagai contoh, sebelum ini tidak pandai membaca pesanan ringkat Whatsapp daripada suami atau anak-anak, namun selepas tempoh enam bulan sahaja belajar di kelas PLF mereka dah boleh membaca dan menghantar pesanan whatsapp dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa mengadakan lawatan kerja di Kelas Literasi Fungsian Rh Rh.Giling S.buloh A Marudi dan Rh. Lalo Sungai Selejau, Marudi Baram baru-baru ini.


Ahmad Kamal menambah, beliau berharap untuk melihat semua program dan aktiviti anjuran KEMAS bukan saja di Marudi malah dimana saja mendapat sambutan masyarakat terutamanya luar bandar demi merealisasikan matlamat pembangunan ekonomi mereka.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, KEMAS telah melaksanakan sebanyak 149 buah kelas PLF di Sarawak dengan melibatkan seramai 39 orang tenaga pengajar dan 2047 orang peserta.

Jelasnya, kelas tersebut dikendalikan dua hingga tiga kali seminggu selama dua hingga tiga jam dengan menggunakan ruai rumah panjang atau menggunakan premis-premis kerajaan seperti dewan masyarakat, rumah ibadah dan balai-balai raya.  

Sementara itu, ujar beliau lagi, KEMAS sentiasa memainkan peranan dalam usaha memberikan ilmu pengetahuan untuk meningkatkan modal insan tanpa sempadan usia, budaya, pegangan agama, bangsa sempadan negeri dan sebagainya.

“Kita memikul amanah kerajaan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua lapisan masyarakat yang ada di negara ini.

“Kita sediakan TABIKA dan TASKA untuk memberi kemudahan kepada ibu bapa menghantar anak-anak mereka mengikuti pendidikan yang berkualiti setara dengan tadika kelolaan swasta.

“Kita juga sediakan program Pendidkan Kemahiran untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat dalam bidang menjahit, memasak, kraftangan, dandanan diri supaya mereka menggunakan kemahiran tersebut untuk berjaya dalam bidang perniagaan dan seterusnya menjadi usahawan yang berjaya.

“Manakala bagi memupuk perpaduan serta membudayakan masyarakat madani dengan kehidupan berkualiti, sihat, selamat dan sejahtera pula, kita sediakan Program Pembangunan Komuniti seperti SKod, Rakan Kebun, dan sebagainya.

“Justeru itu, rebutlah peluang yang disediakan oleh kerajaan melalui KEMAS supaya kita tidak ketinggalan,” katanya lagi.

Dalam majlis itu juga, Ahmad Kamal turut menyampaikan set alat tulis kepada semua peserta di lokasi yang beliau kunjungi.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah KEMAS Sarawak Khairuddin Md Nasir, Pegawai Unit Pembangunan Hendrick Win Dolek, Penolong Pegawai Komuniti dan Kemahiran Hamisah Saadi, Tuai Rumah, Ketua Kaum, Kaunselor, anggota KEMAS Marudi dan penduduk rumah panjang.

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *