Tempatan

Kemenangan PRN Ke-15 amat bermakna kepada BN, rakyat Johor

KUCHING: Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Alexander Nanta Linggi mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-15 pada Sabtu lalu.

Menurut Dato Sri Alexander dalam satu kenyataan pada Isnin, kemenangan ini amat bermakna kepada BN sendiri dan kepada rakyat Johor keseluruhannya, lebih-lebih lagi dalam negara menuju ke ‘Fasa Peralihan ke Endemik’ yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

Katanya, bagi BN, kemenangan 40 kerusi itu bermakna mereka memperoleh majoriti lebih dua pertiga sekali gus berjaya mencapai objektif utama yang disasarkan sebelum ini, iaitu membentuk Kerajaan Negeri baharu yang kukuh, stabil dan kondusif.

“Ini penting dalam merancang arah tuju pembangunan dan pengurusan negeri terutama dalam meluluskan usul-usul penting di Dewan Undangan Negeri (DUN) kelak.

“Bagi rakyat Johor pula, mereka kini boleh mengharapkan urusan pentadbiran yang lebih lancar dan mantap oleh Kerajaan Negeri, demi kesejahteraan hidup dan pemulihan semula ekonomi, seiring negara menuju ke arah pasca-COVID-19,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berharap, semua ahli politik selepas ini dapat memberi tumpuan terhadap segala usaha untuk membangunkan Johor serta memulihkan ekonomi negeri dan negara, yang akhirnya akan meringankan beban rakyat.

Katanya, ahli politik pembangkang juga diharap dapat memainkan peranan semak dan imbang, seterusnya bersama-sama menggalas tanggungjawab mensejahterakan rakyat dan negara.

“Apapun, rakyat Johor sudah membuat pilihan dan semua pihak perlulah menghormati pilihan mereka.

“Marilah kita sama-sama mengenepikan perbezaan dan memberi tumpuan terhadap perkara yang lebih utama iaitu rakyat dan negara.”

Pada PRN Johor kali ini, BN memenangi 40 dari 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dengan UMNO merangkul kejayaan di 33 kawasan, MCA empat manakala MIC tiga.

Pakatan Harapan pula memenangi 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *