Nasional

Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam dijenamakan semula sebagai PETRA

PUTRAJAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (KPTDGA) kini dijenamakan semula kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Dalam satu kenyataan hari ini, PETRA memberitahu, perubahan ini bagi menggambarkan peranan sebenar dan tanggungjawab kementerian berkaitan dengan usaha transformasi dalam bidang tenaga dan air negara.

Katanya lagi, cadangan menjenamakan semula kementerian ini telah dibawa oleh menterinya Dato’ Sri Fadillah Yusof dan ia telah diluluskan oleh kabinet semalam.

“Tujuan perubahan ini adalah untuk memastikan bahawa aspirasi kerajaan melalui fungsi dan tugas Kementerian ini dapat difahami dengan lebih jelas oleh masyarakat umum melalui nama baharu tersebut.

“Sektor Tenaga dan Air yang merupakan komponen terpenting dalam kehidupan kita dan kesejahteraan rakyat akan digalas oleh kementerian ini.

“Nama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), akan digunakan secara rasmi ke atas segala urusan berkaitan dengan kementerian,” katanya.

PETRA juga menjelaskan, pemilihan akronim kementerian pula telah ditentukan melalui pertandingan secara terbuka kepada warga kementerian dan jabatan serta agensi di bawahnya di mana sejumlah 105 cadangan akronim telah di terima dan PETRA telah terpilih sebagai akronim kementerian baharu ini.

Ujarnya lagi, akronim tersebut merujuk kepada pemilihan huruf-huruf terpilih yang dikaitkan dengan nama ementerian.

“Peralihan tenaga dizahirkan secara simbolik pada tiga huruf pertama (PET), manakala Transformasi air juga dizahirkan secara simbolik melalui tiga huruf terakhir akronim berkenaan (TRA),” menurutnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *