SELEPAS dua tahun Aidilfitri di negara ini disambut sederhana akibat penularan COVID-19 yang memaksa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan seluruh negara, tahun ini ramai merancang untuk bercuti dan menyambut bersama keluarga di kampung halaman.
Namun, keriangan merancang perjalanan pulang ke kampung bagi golongan tertentu sedikit tersentap apabila harga tambang pengangkutan awam khususnya bas ekspres dan kapal terbang meningkat mendadak.
Penumpang yang membeli tiket bas ekspres atau kapal terbang mendakwa harga tambang meningkat melebihi kadar munasabah. Ini termasuk melebihi 10 peratus bagi tambang bas ekspres dan hampir 500 peratus untuk segmen trip tertentu ke destinasi di Sabah dan Sarawak pada waktu puncak perayaan.
Justifikasi pengusaha bas ekspres menaikkan harga tambang mungkin munasabah berpandukan kos operasi yang meningkat khususnya mengambil kira langkah perlu diambil bagi mengawal risiko jangkitan COVID19.
Walau apa pun alasan diberi pengusaha pengangkutan awam dalam menaikkan harga, ia perlu setimpal dan dimanifestasikan dengan kualiti perkhidmatan yang tinggi dan cekap.
Dalam hal ini, penumpang bas ekspres berhak mendapat perkhidmatan pengangkutan yang berkesan dan cekap. Ini termasuk bas dinaiki selesa, selamat, tepat waktu dan boleh diharap.
Bagi perjalanan jarak jauh, elemen keselesaan amat penting khususnya dalam memberi penumpang pengalaman aman dan selesa sepanjang perjalanan.
Keselesaan di dalam kenderaan termasuk kebersihan tempat duduk, suasana tenang sepanjang perjalanan, dilengkapi kemudahan seperti tayangan video dan akses wifi, serta suhu pendingin hawa bersesuaian.
Ribuan penumpang akan membanjiri terminal bas ekspres khususnya pada beberapa hari terakhir sebelum hari raya. Ini akan mengakibatkan suasana sesak, panas dan berhimpit di kawasan ruang legar serta platform menunggu.
Pengusaha pengangkutan perlu memastikan proses di terminal untuk urusan daftar masuk diri dan bagasi ketika waktu ketibaan dan pelepasan berjalan lancar.
Pengusaha bas ekspres harus memastikan kenderaan digunakan ketika musim perayaan ini, termasuk bas tambahan, perlu berada di dalam keadaan baik dan sempurna.
Bas perlu diselenggara dan dibaik pulih dengan rapi sebelum dibenarkan beroperasi. Di samping itu, peralatan keselamatan seperti pemadam api dan kit pertolongan cemas juga perlu disediakan, selain disanitasi untuk mencegah penularan COVID-19.
Di dalam menyediakan jumlah trip bagi memenuhi permintaan penumpang, pengusaha bas ekspres harus memastikan pemandu bas berupaya dan sihat sebelum memandu.
Majikan juga perlu menyediakan jadual memandu anjal bagi memastikan pemandu bas mendapat rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan atau memandu untuk trip berikutnya.
Sekiranya khidmat pemandu tambahan diambil, proses pemilihan harus dilakukan dengan teliti, seperti orang tempatan, mempunyai lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah dan aktif, bebas pengaruh dadah atau rekod jenayah.
Pengusaha bas ekspres juga perlu memastikan perkhidmatan disediakan menepati waktu sama ada ketika mengambil atau menurunkan penumpang di destinasi.
Aspek paling utama perlu dititik beratkan pengusaha syarikat bas adalah keselamatan penumpang. Objektif utama dalam prinsip operasi pengangkutan adalah memastikan kenderaan dan penumpang sampai di destinasi dengan keadaan selamat. -Dr Mohd Hafiz Zulfakar dan Dr Shahrin Nasir
Pensyarah Kanan Program Pengangkutan, Jabatan Teknologi dan Pengajian Rantaian Bekalan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam