KUCHING: Kepakaran dalam bidang perubatan anestesia di negeri ini perlu ditingkatkan sebagai usaha untuk mencapai penjagaan kesihatan rakyat yang baik.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ini kerana berdasarkan saranan Persekutuan Persatuan Ahli Bius Sedunia, lima pakar anestesia diperlukan bagi setiap 100,000 penduduk.
Beliau berkata, ia juga selaras dengan anggaran Bahagian Pembangunan Perubatan Kementerian Kesihatan mengenai sasaran pakar dalam Anestesiologi dan Penjagaan Kritikal: 1 hingga 20,000 pada tahun 2025 dan 1 hingga 18,000 pada tahun 2030.
“Kemerosotan jumlah ini bermakna cabaran terbesar untuk kita melatih lebih ramai lagi pakar.
“Kita perlu meningkatkan perkhidmatan penjagaan anestesia bagi memenuhi keperluan dalam bidang pembedahan.
“Kegagalan berbuat demikian akan mendatangkan implikasi dan mengehadkan akses kepada penjagaan kesihatan bagi pembedahan yang selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Persatuan Pakar Anestesi Malaysia (MSA) dan Kongres Saintifik Tahunan Kolej Anestesiologi (CoA) 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCKK) di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Premier Sarawak berkata pemilihan tema ‘Anestesia 2023: Kepimpinan dan Kecemerlangan dalam Pembangunan Anestesia’ adalah bertepatan dengan keadaan yang berlaku pada hari ini.
“Kita telah maklum bahawa pakar anestesia memainkan peranan penting semasa wabak COVID-19.
“Menerusi kerjasama daripada jabatan lain yang berkaitan, kita telah dapat mencari penyelesaian dan berjaya membawa Malaysia ke fasa endemik,” ujarnya.
Kongres kali ini dihadiri perwakilan dari Indonesia, Australia, Brunei, Hong Kong (HK), Kanada, Singapura, German, Korea Selatan, Thailand, New Zealand, United Kingdom (UK) dan Jepun.-UKAS
FOTO: UKAS
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news
Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/