KUCHING: Sejak mengambil alih tampuk Kerajaan Sarawak daripada Allahyarham Pehin Sri Adenan pada tahun 2017, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama rakan dalam Kabinet Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah berusaha sedaya upaya untuk mengangkat status ekonomi Sarawak untuk menjadi sebuah negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Menurut Abang Johari, daripada sebuah ekonomi konvensional, Sarawak kini berada pada landasan yang kukuh untuk menjadi sebuah ekonomi yang dipacu oleh teknologi digital, data dan inovasi.
Menurut beliau, dengan beberapa inisiatif digital, Sarawak sekarang merupakan negeri yang agak ke hadapan dalam proses ke arah digitalisasi ekonomi dan pentadbiran sepenuhnya.
“Melalui inisiatif “revenue reegineering” Sarawak berjaya menambahkan hasil pendapatan negeri hampir RM12 bilion pada 2022 yang merupakan suatu rekod kerana pada kebiasaannya hasil negeri berada pada tahap RM4 ke RM5 bilion sahaja. Ini merupakan peningkatan satu kali ganda dalam masa empat tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perhimpunan dan perarakan sempena sambutan perayaan 60 tahun Sarawak Merdeka di Padang Merdeka Kuching pada Sabtu.
Premier Sarawak juga menambah, Sarawak juga telah memperkenalkan Cukai Jualan (SST) ke atas produk-produk petroleum untuk eksport dan ke atas produk-produk eksport lain termasuk aluminium, arang batu dan produk kayu-kayan tertentu.
Selain itu ujar beliau, pada 2017, Kerajaan Sarawak telah menubuhkan syarikat minyak dan gasnya sendiri iaitu PETROS, untuk membangunkan sumber minyak dan gas di luar pantai Sarawak bersama Petronas melalui pemegangan ekuiti dan di kawasan pantai negeri ini dengan hak penuh seperti yang termaktub dalam Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958).
“Sekarang, PETROS merupakan syarikat minyak dan gas ketiga terbesar di Malaysia,” katanya lagi.
Di samping itu, katanya, pada tahun yang sama, Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) telah ditubuhkan untuk menyediakan kemudahan pinjaman bagi agensi kerajaan negeri untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur yang strategik demi memperhebatkan pembangunan, khususnya di kawasan luar bandar.
Jelasnya, penyuntikan dana ini, khususnya melalui Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) untuk pembangunan setempat di seluruh Sarawak merupakan suatu pelaburan untuk mempercepatkan penyediaan infrastruktur yang begitu penting untuk pembangunan ekonomi.
Sementara itu, ujarnya lagi, semasa pandemik COVID-19 yang tercetus pada awal tahun 2020, ia telah mengancam untuk menjejaskan visi Sarawak untuk menjadi negeri maju dan Kerajaan Sarawak telah menangani dengan penggubalan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 supaya ekonomi Sarawak mampu melangkah ke arah 2030 dengan jayanya.
Menjelas lanjut, Premier Sarawak memaklumkan, selari dengan dasar untuk menjamin kelestarian sumber dan alam sekitar negeri ini, Kerajaan GPS telah dengan langkah berani meneroka potensi-potensi ekonomi hijau yang menjadi fokus dunia pada masa ini untuk menangani pemanasan iklim global selaras dengan Perjanjian Paris.
“Pembangunan ekonomi hijau memberi banyak peluang kepada Sarawak untuk mempertingkatkan ekonominya melalui pengeluaran gas hidrogen sebagai bahan bakar tanpa karbon, penyimpan karbon (CCUS), perniagaan karbon dan pengeluaran minyak yang lestari sifatnya (SAF) daripada biojisim alga,” ujar Abang Johari.
Kredit foto: UKAS
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news
Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/