Nasional

Keputusan kerajaan tidak mengapung harga ayam di pasaran dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat

PUTRAJAYA: Bukan u-turn, sebaliknya keputusan kerajaan untuk tidak mengapung harga ayam di pasaran adalah dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat ekoran peningkatan kos sara hidup.

Itu penegasan Perdana Menteri Datuk Seri ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa prihatin mendengar rintihan rakyat dan sebarang keputusan yang diambil kerajaan akhirnya akan memberi faedah kepada rakyat.

“Kita tak u-turn (apungan harga ayam). Waktu itu kita hanya kata harga ayam akan diapungkan. Tapi setelah mendengar pandangan rakyat, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang mendengar pandangan rakyat.

“Jadi setelah mendengar pandangan rakyat, kita membuat keputusan untuk menerima pandangan tersebut dan membuat keputusan. Yang pentingnya adalah keputusan itu menguntungkan rakyat.

“Bukannya soal pusingan u atau tidak kerana ia tak penting. Yang pentingnya apa kita buat itu, ia memberi faedah kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas berkunjung ke Karnival Jom Heboh di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai harga telur ayam, Perdana Menteri berkata, perkara itu akan diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, bekalan barangan asas di pasaran adalah mencukupi menjelang sambutan Aidiladha.

Beliau berkata, perincian mengenainya perlu diajukan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pada Jumaat, kerajaan memutuskan harga ayam di pasaran negara tidak akan diapungkan, selain harga siling baharu akan diumumkan menteri berkaitan, dalam masa terdekat.

Jelasnya, keputusan itu adalah keprihatinan kerajaan supaya rakyat tidak dibebani tekanan berpunca kenaikan kos sara hidup ketika ini.-ASTRO AWANI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *