KUCHING: “Waktu kita konvensyen PBB yang lepas, dan saya madah kita ada hak dan saya akan guna hak ini. Alhamdulillah, kini kita memperoleh RM8 bilion lebih dan akan bertambah lagi,” katanya.
Demikian menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berhubung keputusan Sarawak menghantar Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan rombongan peguam dari Sarawak ke London bagi mengkaji Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Jelas beliau lagi, hak Sarawak yang termaktub dalam Fasal 2 Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan membolehkan Sarawak memperolehi pendapatan dan ini digunakan untuk membangunkan Sarawak pada masa kini dan akan datang.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari yang juga merupakan Yang di Pertua PBB memberitahu pada awal keputusan Kerajaan Sarawak menghantar rombongan ke London enam tahun lepas, beliau telah dimarahi oleh banyak pihak.
Malah, ada yang berkata keputusan itu sia-sia sahaja dan membuang masa, tetapi kini rombongan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah & Sarawak) Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili dan rombongan dari Sabah akan ke London bagi mengkaji Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)
“Waktu saya ganti Pehin Sri Adenan, saya hantar Datuk Sharifah Hasidah dengan beberapa peguam Sarawak ke London untuk melihat arkib Perjanjian Malaysia 1963.
“Waktu itu saya dimarahi. Kenapa pergi ke London? Google jak dapat. Masuk Google. Hari ini siapa pergi? Siapa pergi? Menteri Malaysia yang jaga Sabah dan Sarawak membawa rombongan Sabah. Kita 6 tahun dahulu dah pergi,” tegasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Perhimpunan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.
Jelas Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, apa yang telah dibuat Kerajaan Sarawak adalah betul selepas beberapa kajian diadakan dengan melihat keperluan fakta kebenarannya.