Nasional

‘Kerajaan akan terus perjuangkan keadilan buat mangsa tragedi MH17’

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperjuangkan keadilan kepada semua mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014 walaupun perbicaraan kes itu sudah selesai dan kes ditutup sepenuhnya.

Susulan itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kerajaan akan meneruskan usaha itu menerusi pelbagai platform termasuk berbincang dengan Wisma Putra bagi mencari pembelaan kepada mangsa dan keluarga.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini menyalurkan peruntukan RM27.85 juta bagi sumbangan perbicaraan MH17, tetapi prosiding kes itu sudah diselesaikan sepenuhnya.

“Kes membabitkan MH17 sudah selesai dan ditutup sepenuhnya, namun belum ada keadilan terhadap mangsa dan kita akan teruskan isu ini melalui pelbagai platform, selain akan membincangkan kedudukan kerajaan bersama Wisma Putra.

“Sudah tentu hak dan apa yang berlaku kepada MH17 tidak dilupakan, kita akan terus memperjuangkannya supaya keadilan dikembalikan kepada semua mangsa,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat Jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Pesawat MH17 ditembak jatuh oleh sistem peluru berpandu BUK Russia ketika ia terbang melintasi timur Ukraine dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014, membunuh semua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 196 warga Belanda.

Pada awal bulan lalu, media melaporkan pasukan pendakwaan antarabangsa menemui ‘petunjuk jelas’ bahawa Presiden Russia, Vladimir Putin meluluskan penggunaan sistem peluru berpandu Russia di Ukraine yang menembak jatuh pesawat MH17 di timur negara itu pada 2014.

Bagaimanapun, bukti pembabitan Putin dan pegawai Russia yang lain tidak cukup muktamad untuk membawa kepada sabitan jenayah, menyebabkan siasatan kes ditamatkan buat masa ini.

Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, peruntukan bernilai RM15 juta yang disediakan Malaysia bagi perbicaraan MH17 untuk 2023 akan diselaraskan semula selepas prosiding perbicaraan kes itu sudah selesai.-BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *