Nasional

Kerajaan akan wujudkan satu Jawatankuasa Khas teliti dan gubal Akta Antilompat Parti

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewujudkan satu Jawatankuasa Khas bagi meneliti dan mengubal Akta Antilompat Parti.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, jawatankuasa khas itu bakal melibatkan wakil daripada kerajaan dan pembangkang.

“Untuk Akta (Anti Lompat Parti) ini bagi menggubal akta ini, kita akan wujudkan Jawatankuasa Khas, yang akan teliti dan gubal akta ini.

“Ia terdiri daripada wakil kerajaan, malah wakil pembangkang dan mungkin kita juga akan jemput ahli akademik yang pakar dalam perlembagaan,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan turut mensasarkan akta berkenaan akan dibentang pada sesi Parlimen Julai depan.

“Saya harap perkara ini dipercepatkan, sasaran kerajaan untuk bentangkan Akta Antilompat Parti ini pada sesi bulan Julai nanti.

“Tetapi tergantung kepada yang pertama, tergantung kepada Jawatankuasa Khas nanti secepat mana mereka boleh cadangkan untuk dibentangkan kepada Kabinet untuk persetujuan. Maka boleh bentang di Parlimen,” jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Taklimat Khas Rang Undang-Undang Akta Anti Lompat Parti bersama Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Dewan Seri Endon di sini pada petang Ahad.-AWANI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *