Dunia

Kerajaan Brunei Kemaskini Syarat-syarat perjalanan keluar dan masuk negara melalui udara berkuatkuasa 1 April ini 

LIMBANG: Jawatankuasa Pandu COVID-19 Negara Brunei Darussalam telah memaklumkan pengemaskinian syarat-syarat perjalanan keluar dan masuk negara melalui udara dengan berdasarkan penilaian risiko semasa dan kajian yang terperinci.

Menerusi kenyataan media pada Rabu, syarat-syarat baru ini akan dilaksanakan mulai Jumaat, 1 April 2022.

“Menjalani kuarantin di rumah-rumah kediaman persendirian atau hotel-hotel penginapan dengan alamat kediaman masing-masing perlu didaftarkan sebelum berlepas ke Negara Brunei Darussalam melalui Arrival E-Health Declaration Form secara dalam talian. 

“Deklarasi ini hendaklah dilengkapkan oleh setiap individu yang akan membuat perjalanan masuk ke negara ini dalam tempoh 24 jam sebelum berlepas dengan maklumat kesihatan mereka seperti status vaksinasi, keputusan ujian COVID-19 dan sejarah perjalanan. 

“Setiap individu yang membuat perjalanan masuk negara masih diperlukan membuat pembayaran ujian-ujian COVID-19 yang akan dijalani semasa ketibaan,” kata kenyataan itu.

Turut dikemaskini Travel Green List yang telah diumumkan sebelum ini diaktifkan semula dengan pengemaskinian serta memasukkan negara-negara berikut seperti Australia, Kemboja, Republik Rakyat China, Jepun, Republik Korea, Malaysia (udara sahaja), New Zealand, Republik Singapura, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi. 

Manakala, warganegara asing daripada negara-negara yang tersenarai dalam Travel Green List tidak diperlukan untuk memohon kebenaran Entry Travel Pass (ETP ) bagi perjalanan masuk ke Negara Brunei Darussalam.

Walau bagaimanapun, mereka yang membuat perjalanan masuk daripada negara-negara Travel Green List dan berhasrat untuk bekerja atau melawat ke Negara Brunei Darussalam masih diperlukan untuk memohon visa bekerja, visa tanggungan, visa lawatan (bagi mana-mana warganegara asing yang dipersyaratkan untuk memerlukan visa kemasukan), atau visa lawatan profesional dan bisnes, terlebih dulu sebelum masuk ke negara ini.

Di samping itu, mereka juga dikehendaki untuk menepati syarat-syarat kesihatan yang berkuatkuasa seperti mempunyai vaksinasi COVID-19 yang lengkap. 

Ujar kenyataan Jawatankuasa Pandu COVID-19 Negara Brunei Darussalam itu lagi, individu yang tiba daripada negara-negara Travel Green List adalah dikehendaki untuk mematuhi protokol kesihatan yang telah dikemaskini. 

“Menjalani ujian swab RT-PCR tidak lebih dari dua (2) hari sebelum bertolak dari negara asal atau menjalani certified ART tidak lebih dari satu (1) hari sebelum bertolak dari negara asal.

“Menjalani ujian swab RT-PCR dan ART pada hari ketibaan di negara ini dan seterusnya menjalani ART sahaja pada hari kedua dan hari ketiga yang mana keputusan ujian hendaklah dilaporkan melalui aplikasi BruHealth.

“Menjalani kuarantin sebaik sahaja tiba ke negara ini sehingga keputusan ujian swab RT-PCR semasa ketibaan disahkan negatif. Mereka boleh menjalani kuarantin di rumah kediaman masing- masing atau hotel penginapan

“Mereka yang pernah dijangkiti COVID-19 dan mempunyai bukti jangkitan seperti Sijil Kesembuhan COVID-19 yang mana tarikhnya adalah tidak lebih dari 90 hari adalah dikecualikan dari syarat-syarat yang disebutkan dalam perenggan 2.4 (i) dan 2.4 (iii). Mereka juga adalah dikecualikan dari menjalani ujian swab RT-PCR semasa ketibaan dan hanya diperlukan menjalani ART pada hari ketibaan sahaja,” ujarnya kenyataan itu lagi. 

Sementara itu, bagi mereka yang tiba ke negara Brunei Darussalam dari negara-negara yang belum termasuk di dalam Travel Green List, mereka diperlukan menjalani ujian swab RT-PCR tidak lebih dari dua (2) hari sebelum bertolak dari negara asal dan menjalani certified ART tidak lebih dari satu (1) hari sebelum bertolak dari negara asal, menjalani ART pada hari ketibaan ke negara ini dan seterusnya menjalani kuarantin selama lima hari di rumah kediaman masing-masing atau hotel. 

Mereka turut dikehendaki menjalani ujian swab RT-PCR pada hari kelima dan akan dibenarkan menamatkan kuarantin sebaik sahaja keputusan ujian swab RT-PCR disahkan negatif. Ujian swab RT-PCR boleh dilakukan di mana-mana klinik kesihatan yang diiktiraf yang mana senarai klinik kesihatan yang diiktiraf boleh diperolehi dari laman sesawang Jabatan Perdana Menteri www.jpm.gov.bn/travelportal. 

Mereka yang pernah dijangkiti COVID-19 dan mempunyai bukti jangkitan seperti Sijil Kesembuhan COVID-19 yang mana tarikhnya adalah tidak lebih dari 90 hari adalah dikecualikan dari syarat-syarat yang disebutkan di dalam perenggan 2.5 (i) dan 2.5 (iii). Mereka juga adalah dikecualikan dari menjalani kuarantin selama lima (5) hari dan hanya diperlukan menjalani ART pada hari ketibaan sahaja. 

Bagi warganegara asing yang membuat perjalanan masuk untuk berada di negara ini secara sementara sahaja pada tempoh kurang daripada 90 hari adalah diperlukan untuk mendapatkan insurans perjalanan yang meliputi perlindungan rawatan COVID-19.

Sebarang maklumat lanjut dan terperinci mengenai garis panduan perjalanan keluar dan masuk negara boleh didapati melalui laman sesawang Jabatan Perdana Menteri www.jpm.gov.bn/travelportal. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *